Covid-19: Labuan mungkin kuat kuasa kuarantin wajib 14 hari

Para pengembara yang tiba beratur untuk melalui pemeriksaan dokumen perjalanan dan saringan kesihatan di Terminal Feri Antarabangsa Labuan hari ini. Foto Bernama
Para pengembara yang tiba beratur untuk melalui pemeriksaan dokumen perjalanan dan saringan kesihatan di Terminal Feri Antarabangsa Labuan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Labuan mungkin akan mengikuti langkah kerajaan Sabah yang akan menguatkuasakan kuarantin wajib 14 hari terhadap individu yang memasuki pulau bebas cukai itu sebagai usaha untuk mengekang penularan kes Covid-19, di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan Rithuan Ismail berkata, pihaknya kini sedang mendapat kelulusan daripada kerajaan Persekutuan mengenai perkara itu.

"Kita perlu menunggu dan akan mengumumkan perkara ini dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya ketika sidang akhbar yang diadakan secara maya, di sini pada Rabu.

Semalam, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun mengumumkan bahawa penguatkuasaan kuarantin wajib 14 hari ke atas individu yang masuk ke Sabah berkuat kuasa, Khamis (20 Mei).

Menurut Rithuan, selain kuarantin wajib, jawatan kuasa itu juga mencadangkan agar ujian reaksi rantai polimerase (PCR) dijalankan terhadap setiap pelancong, sebelum memasuki pulau bebas cukai itu.

Dalam perkembangan lain, Rithuan menjelaskan bahawa dua pasangan suami isteri dari Labuan yang didakwa telah mencetuskan kluster Covid-19 baharu di Tawau, Sabah telah menjalani ujian RTK-Antigen dan diuji negatif sebelum mereka melakukan perjalanan rentas negeri berkenaan.

Beliau juga akan memastikan setiap individu di pulau itu yang ingin melakukan perjalanan rentas negeri mematuhi prosedur operasi standard yang ketat.

Ini termasuk, perlu mendapatkan kebenaran polis dan mengemukakan keputusan ujian Covid-19 yang negatif sebelum dibenarkan melepasi pemeriksaan polis di Lapangan Terbang Labuan dan terminal feri.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Masidi yang juga menteri yang bertanggungjawab terhadap isu Covid-19 di Sabah berkata bahawa Sabah telah memutuskan untuk mengenakan sekatan yang lebih ketat setelah mengesan dua kes indeks yang berasal dari Labuan mencetuskan kluster Covid-19 baharu di Tawau.

Beliau dilaporkan berkata kes pertama melibatkan pasangan suami isteri yang pulang ke Ladang Abaka, Tawau pada 7 Mei dan disahkan positif pada 14 Mei, dan menjangkiti sembilan ahli keluarga.

Keputusan ujian RTK pasangan itu didapati negatif semasa melakukan perjalanan rentas negeri.

Bagi kes kedua, individu terlibat pulang ke Kampung Sungai Imam, Tawau pada 8 Mei sebelum disahkan positif pada 16 Mei dan turut menziarah keluarganya di Taman Barkeley, Tawau seterusnya menyebabkan jangkitan kepada 43 ahli keluarganya.

Bagaimanapun Masidi pada Rabu dalam satu kenyataan menjelaskan kes kedua itu disyaki mendapat jangkitan daripada kes indeks semasa menziarahi rumah keluarga di Kampung Sungai Imam dan Taman Berkeley pada 13 dan 14 Mei.

Mengenai isu ingkar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di Labuan, Rithuan berkata nilai kompuan sebanyak RM963,500 dikenakan bagi 677 pelbagai kesalahan SOP, sejak Mac tahun lepas.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 386 kompaun bernilai RM373,875 telah dibayar.

"Terdapat 277 kompaun yang tidak dapat diselesaikan kerana prosiding dan rayuan mahkamah sementara 14 baki diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFC)," katanya.

Daripada keseluruhan kompaun itu, 523 dikeluarkan oleh polis diikuti 148 oleh pegawai kesihatan dan enam oleh pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Labuan.

"Pelaku bukan sahaja individu malah peniaga," katanya sambil menambah kompaun bernilai antara RM1,500 hingga RM25,000 dengan kesalahan termasuk kegagalan mengimbas kod MySejahera, cubaan melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran polis dan gagal mematuhi arahan kuarantin.

Labuan kini merekodkan kes positif kumulatif sebanyak 2, 591 dengan 14 kes baharu hari ini. - Bernama