X

Kindly register in order to view this article
!

511 kontak rapat kluster Layang-Layangan jalani ujian saringan

Petugas kesihatan membuat saringan kesihatan dan ujian calitan ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai, pada Isnin. Foto: Bernama
A
A

LABUAN - Sejumlah 511 individu yang merupakan kontak rapat kes positif Covid-19 daripada Kluster Layang-Layangan telah menjalani ujian saringan, kata Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 45 diuji positif termasuk pelajar sekolah, penduduk komuniti tempatan, seorang penjaga kuil Hindu, rakan serta saudara-mara mereka.

“Jangkitan (daripada kluster itu) turut dikesan di Semenanjung dengan dua kes di Kuala Lumpur, dua di Selangor dan satu di Kedah,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Ismuni berkata peningkatan dalam kes daripada kluster itu telah menjadikan Labuan sebagai zon merah bagi Covid-19 selepas merekodkan lebih 40 kes dalam tempoh 14 hari.

Katanya beberapa kumpulan tertentu telah memilih untuk tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan mengadakan perhimpunan keluarga di kawasan pantai serta meraikan sambutan ulang tahun di medan selera.

Kluster Layang-Layangan, yang muncul pada 5 Mei, adalah berpunca daripada tujuh rakyat India dan lima rakyat Malaysia yang tiba ke pulau bebas cukai itu dari Semenanjung melalui Lapangan Terbang Labuan pada awal bulan ini.

Beliau berkata tindakan menyembunyikan maklumat oleh sesetengah pesakit yang positif Covid-19 atau kontak rapat telah menyebabkan berlakunya peningkatan kes.

“Kami telah menggandakan usaha untuk mengesan kontak rapat pesakit yang positif sehingga generasi kelima dan menghubungi klinik swasta bagi membendung penularan.

“Memandangkan Kluster Layang-Layangan telah menular ke sekolah, kuil dan komuniti tempatan, adalah mustahak bagi semua orang untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan. (Tolong) elakkan berada khalayak yang ramai dan kawasan sesak sepanjang penularan virus ini,” katanya.

Setakat hari ini, jumlah kumulatif jangkitan di Labuan ialah 2,517 dengan satu kluster aktif iaitu Kluster Layang-Layangan dan 14 kematian. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!