Tak boleh ziarah ke rumah, pakat beraya di pusat beli-belah

Cuti perayaan yang panjang dan larangan berziarah di rumah akibat PKP menyebabkan orang ramai mengambil alternatif berkunjung dan bertemu saudara serta rakan di pusat beli-belah.
Cuti perayaan yang panjang dan larangan berziarah di rumah akibat PKP menyebabkan orang ramai mengambil alternatif berkunjung dan bertemu saudara serta rakan di pusat beli-belah.
A
A
A

SHAH ALAM - Kemeriahan hari raya tahun ini mungkin kurang berbanding tahun lepas kerana aktiviti ziarah rumah ke rumah tidak dibenarkan, namun orang ramai dilihat mencari lokasi alternatif berziarah apabila bertemu ahli keluarga serta rakan-rakan di pusat beli-belah sejak hari raya pertama.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, orang ramai juga dilihat 'beraya' di pusat beli-belah untuk melepaskan kebosanan akibat cuti raya yang panjang tanpa aktiviti tradisi susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan.

Bagaimanapun, Mohd Dzulkhairi tetap melahirkan kebimbangan dengan tindakan orang ramai menjadikan pusat beli-belah atau mall sebagai 'hotspot' berkumpul pada hari raya kerana boleh meningkatkan penularan pandemik Covid-19 dalam kluster komuniti.

“Apabila orang pergi ke pusat beli-belah dan tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan fizikal hingga tidak terkawal, ia boleh menjadi satu perkara yang membimbangkan.

“Jika kita lihat, pusat beli-belah sudah sedia maklum disenaraikan sebagai tempat berkumpul orang ramai dan ada kemungkinan ia menjadi punca utama kluster dalam komuniti.

“Apabila ia menjadi kluster komuniti yang sukar dilakukan pengawalan wabak dan pengesanan kontak atau penyebab wujud kluster baharu, ia perlu dipandang serius," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambahnya, terdapat kemungkinan besar ada pihak yang mengambil kesempatan berkumpul atau berjumpa sambil membeli-belah selepas aktiviti menziarahi sanak-saudara di rumah tidak dibenarkan.

“Tidak mustahil ada yang pergi ke pusat beli-belah datang dari isi rumah yang berlainan dan menjadikan pusat beli-belah itu sebagai tempat berjumpa sambil membeli belah.

Artikel Berkaitan:

“Selain daripada pusat beli-belah, ada juga yang menjadikan tempat parkir kenderaan sebagai tempat pertemuan atau berkongsi juadah sebagai ganti tidak boleh ziarah rumah ke rumah,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Dzulkhairi mengakui, pusat beli-belah hanya wajar ditutup apabila ia menyebabkan penyebaran kluster baharu atau komuniti.

“Sekiranya ia tersenarai sebagai kawasan ‘hotspot’, ia wajar ditutup dan jika ia pernah ditutup sebelum ini dan dibuka semula namun masih terdapat peningkatan kes di situ, wajar ditutup semula secara menyeluruh untuk mengelakkan terjadinya kluster baharu serta penularan.

“Kita tidak perlu menuding jari pada siapa pun dan tidak wajar kesalahan tersebut diletakkan sepenuhnya ke bahu rakyat.

“Namun, sebagai individu yang bertanggungjawab untuk menghentikan pandemik ini, saya rasa wajar orang ramai terus kekal untuk duduk di rumah dan keluar rumah sekiranya perlu sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, beliau memahami jiwa rakyat yang memberontak dan tertekan oleh PKP pada musim perayaan, namun faktor keselamatan harus diutamakan.

“Sebagai ahli kaunselor, saya memahami jiwa rakyat Malaysia yang menginginkan kebebasan bersosial terutamanya semasa raya, tetapi tidak ada tolak ansur apabila kita menyentuh isu Covid-19 kerana keselamatan yang paling utama.

“Pada waktu ini, memang rakyat suka bersosial, interaksi dan beli-belah untuk mengurangkan tekanan tetapi dalam konteks peningkatan yang serius ketika ini, orang ramai diminta untuk tidak membuat tindakan yang boleh menjadi punca bahaya terhadap diri mereka.

“Dari segi peningkatan kes Covid-19, ia membimbangkan kerana kita tidak boleh menghalang penyebaran virus dan jika kita pergi ke pusat beli-belah secara sengaja, ia boleh menjadi punca penambahan kluster," katanya.