X

Kindly register in order to view this article
!

Tidak cukup sekadar kecam

A
A

MUNGKIN pada pagi 1 Syawal lalu, ramai yang memanjatkan doa agar Covid-19 segera pergi. Kesayuan, kehibaan dan kepiluan yang membuku di kalbu sudah terlalu berat untuk ditanggung. Maklumlah bukan senang untuk hidup umpama zaman perang. Semuanya terpaksa ditelan demi menjaga keselamatan nyawa dan keluarga.

Barangkali juga doa kita kali ini turut dipanjangkan buat saudara kita yang lebih sengsara di bumi Palestin. Mereka bukan sahaja terpaksa berdepan ancaman Covid-19, malah turut dikeronyok oleh puak Israel Zionis yang kejam ketika sedang berpuasa. Ujian ke atas mereka lebih berat jika dibandingkan dengan kesengsaraan kita.

Kekejaman, penghinaan dan pembunuhan ke atas warga Palestin bukanlah isu baharu. Ia sudah berlaku berabad lamanya. Malah, isu Palestin sudah pun diklasifikasikan sebagai pelanggaran hak asasi manusia terbesar dan terburuk dalam sejarah dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Justeru, ia bukan lagi dianggap sebagai masalah umat Islam semata-mata tetapi sudah menjadi permasalahan kemanusiaan sejagat. Ia sentiasa dilihat sebagai penindasan dan penghinaan ke atas hak asasi manusia.

Apa-apa yang melibatkan Palestin telah menjadi masalah yang melangkaui perbatasan agama, kepercayaan dan kebangsaan. Sebab itu apa yang berlaku di wilayah Baitulmaqdis Timur dan Sheikh Jarrah hari ini dikutuk sekeras-kerasnya seluruh warga dunia, dari Amerika Syarikat (AS) sehinggalah ke New Zealand, sama ada oleh orang Islam mahupun bukan Islam.

Satu dunia mengecam tindakan bia-dab tentera Israel menceroboh Masjid al-Aqsa yang sekarang ini mencetuskan ketegangan dan pertempuran yang meragut nyawa mereka tidak berdosa.

Bagaikan dejavu, apa yang berlaku ketika ini seperti menyaksikan ulangan peristiwa bersiri kekejaman Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang menyerang secara bumi hangus atas alasan mempertahankan diri daripada serangan tentera Hamas.

Seperti dijangka, di sebalik keca-man dan kutukan keras warga dunia, dua musibat besar dalam hal ini, AS dan Dunia Arab ternyata bertindak sebaliknya. AS seperti biasa membutakan mata dan memekakkan telinga setiap kali isu Palestin timbul. Lantiklah siapa pun jadi Presiden AS – Obama, Trump atau Biden – pendekatannya tetap sama. Bagaimana boleh masuk akal negara terkuat di dunia menjadi sangat bebal bila berdepan isu Palestin?

Terbatas

Kenyataan jurucakap Jabatan Luar Negeri AS, Ned Price yang menyatakan AS mempunyai ‘kemampuan yang terbatas’ untuk menghentikan konflik Israel-Palestin bukti betapa baculnya AS terhadap Israel.

Dan apakah masuk akal apabila beliau mengecam serangan roket Hamas yang mempertahankan diri sebagai ‘tindakan ekstremis dan serangan pengganas yang mengerikan’ tetapi mempertahankan tindakan ganas IDF sebagai ‘hak untuk mempertahankan diri, keselamatan dan keamanan’. Nampak sangat double standard di situ.

Lebih menyedihkan, apa tindakan Dunia Arab, baik menerusi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mahupun Liga Arab untuk membantu Palestin?

Memang banyak negara Arab termasuk enam yang ada hubungan diplomatik dengan Israel mengutuk tindakan tersebut, namun bukankah itu sebahagian amalan standard mereka setiap kali Palestin dikeronyok Israel. Berbuih mulut mengecam dan mengutuk, namun tanpa sebarang tindakan substantif untuk menyelesaikannya.

Mungkin sudah sampai masa Dunia Arab tidak lagi melihat isu Palestin sebagai ‘masalah orang Arab’ atau ‘masalah umat Islam’ kerana jelas mereka yang mempunyai pertalian dan hubungan sejarah yang sama tidak mampu melakukan apa-apa, jauh sekali atas nama saudara se-Islam.

Jika ini berterusan, maka selama itulah kita akan berterusan dihidang dengan krisis kemanusiaan tanpa penyelesaian. Kalau ini berlaku, maka segala doa, usaha dan simpati kita kepada Palestin ibarat mencurah garam di lautan, bagai hujan jatuh ke pasir.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!