Kerajaan akan kaji semula elaun Rela

Muhyiddin ketika bercakap pada sidang media, di sini, hari ini.
Muhyiddin ketika bercakap pada sidang media, di sini, hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan mengkaji semula elaun anggota dan pegawai Rela demi kebajikan anggota Rela dan keluarga mereka.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mencadangkan elaun pegawai dinaikkan kepada RM9.80 sejam manakala bagi anggota biasa, elaun penugasan dinaikkan kepada RM8 sejam.

Muhyiddin berkata, cadangan itu akan dibawa kepada Kementerian Kewangan dengan mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Saya akan cuba usahakan kerana terdapat asas untuk elaun tersebut dinaikan tetapi ia memerlukan kelulusan daripada Kementerian Kewangan," katanya.

Beliau berkata kenaikan elaun itu adalah bersesuaian selaras dengan pertambahan bajet sebanyak RM10 juta setahun yang diumumkan untuk anggota Rela sebelum ini.

"Saya fikir kadar itu tidak terlalu melampau dan saya akan berikan surat sokongan kepada kementerian untuk diluluskan secepat mungkin," katanya ketika sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Rela ke-47 di sini, hari ini.

Menurutnya kali terakhir elaun organisasi sukarelawan itu dikaji pada 2012 dengan kadar elaun sebanyak RM6 sejam bagi anggota biasa dan RM7.80 bagi pegawai.

Pada masa yang sama beliau menyambut baik saranan Ketua Pengarah Rela untuk mempertingkatkan peranan organisasi itu kepada bidang lain dengan jumlah anggota sukarela itu seramai 3.1 juta orang seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Namun beliau berkata, perkara tersebut memerlukan kajian lanjut kerana turut memerlukan latihan, sumber manusia dan peruntukan.

Sementara itu pada majlis tersebut beliau turut melancarkan aplikasi MyRELA Mobile 2.0 dan e-Penugasan Rela sebagai kemudahan kepada anggota dan masyarakat untuk mendapatkan informasi terkini mengenai Rela secara lebih pantas.

Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan cek Insuran Rela berjumlah RM32,500 kepada waris anggota Rela Kuala Langat, Allahyarhamah Noor Azizah Abdul Aziz yang meninggal dunia ketika bertugas pada 28 Julai 2018.

Selain itu beliau juga menganugerahkan Pingat Khidmat Bakti Rela (KBR) dan Pingat Setia Rela (SR) kepada tujuh anggota sebagai penghargaan kepada mereka atas pencapaian cemerlang dan tempoh perkhidmatan.

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Aziz Jamman, Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya Rea Zulkifli Abidin.