Kerajaan perlu perkukuh penguatkuasaan

SHAH ALAM – Penguatkuasaan lemah menjadi antara punca lambakan barangan murah berkualiti rendah dari China di pasaran tempatan sehingga menjejaskan pengguna dan daya saing peniaga di negara ini.
Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, kerajaan perlu memperkukuh penguatkuasaan serta pemeriksaan terhadap produk import bagi memastikan barangan yang memasuki negara ini memenuhi standard kualiti ditetapkan.
Menurutnya, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pertimbangan memperkenalkan peraturan lebih ketat bagi mengawal kemasukan barangan murah melalui platform e-dagang antarabangsa merupakan langkah yang baik, namun perlu disusuli tindakan berkesan.
Beliau berkata, isu utama ketika ini bukan sekadar kemasukan produk murah, sebaliknya kelemahan pelaksanaan dan pemantauan oleh agensi yang bertanggungjawab.
“Penguatkuasaan kita lemah. Kenapa pihak kastam tidak memeriksa dan menolak produk yang tidak memenuhi standard kualiti?
“Produk ini dijual murah, tetapi kualitinya tidak memuaskan. Banyak aduan yang saya terima daripada peniaga mengenai barangan yang dibeli tidak tahan lama,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Rabu, Anwar berkata, kerajaan akan mempertimbang memperkenalkan peraturan yang lebih ketat bagi mengawal kemasukan barangan murah melalui platform e-dagang antarabangsa, terutamanya dari China.
Mengulas lebih lanjut, Rosli berkata, pengguna terpaksa mengeluarkan wang berulang kali untuk membeli barangan baharu apabila produk yang dibeli mudah rosak dalam tempoh singkat.
“Ini semua duit rakyat. Mereka bekerja dan mencari wang untuk membeli barang, tetapi apabila digunakan tidak sampai seminggu sudah rosak.
“Kerajaan perlu memastikan produk yang dibawa masuk memberi manfaat kepada rakyat dan mempunyai kualiti yang baik serta boleh digunakan dalam tempoh lama,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan perlu memperketat pemeriksaan di pintu masuk negara selain memastikan agensi penguat kuasa menjalankan tanggungjawab, bukan hanya bertindak selepas menerima aduan.
Rosli turut menggesa agensi berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mempertingkatkan pemantauan terhadap produk yang memasuki pasaran.
Katanya, kenyataan Perdana Menteri itu perlu diterjemahkan kepada tindakan oleh agensi pelaksana supaya usaha kerajaan benar-benar memberi kesan kepada rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
