Tak dapat beraya dengan Honda Civic

Hassan Basri menunjukkan sebuah kereta Honda Civic yang disita dalam Op Samseng Jalanan pada Jumaat lalu.
Hassan Basri menunjukkan sebuah kereta Honda Civic yang disita dalam Op Samseng Jalanan pada Jumaat lalu.
A
A
A

MELAKA - Enam individu terpaksa menyambut Aidilfitri tanpa kereta jenis Honda Civic mereka selepas keenam-enam kenderaan itu yang digunakan untuk berlumba haram disita polis dalam Op Samseng Jalanan pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, enam individu memandu kereta jenis Honda Civic itu ditahan selepas dipercayai berlumba haram di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) kira-kira jam tiga pagi.

"Selain kereta berkenaan, 11 buah motosikal pelbagai jenis turut disita dalam Op Bising dan kesemua kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

"Kesemua sitaan itu hasil tiga operasi bersepadu yang dilakukan bermula Jumaat hingga Ahad manakala 30 individu ditahan termasuk 17 lelaki berusia antara 17 tahun hingga 30-an," katanya ketika sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Hassan Basri berkata, 15 buah motosikal termasuk ditunggang secara berkumpulan oleh pelajar sekolah menengah turut ditahan di kawasan Ayer Keroh, Tanjung Minyak dan Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dalam Op Bising.

Menurutnya, sejumlah 87 saman dikeluarkan dalam tiga operasi berkenaan atas pelbagai kesalahan termasuk kesalahan nombor pendaftaran, ubah suai ekzos dan aksesori, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri juga mengeluarkan kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 kesalahan pencemaran bunyi daripada ekzos.

"Saman tertinggi dikeluarkan kepada sebuah motosikal yang disita lebih enam saman dengan kebanyakannya terdiri daripada jenis Yamaha Ysuku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya.