Peminat astronomi kecewa tak dapat lihat gerhana matahari

Aktiviti mencerap gerhana matahari separa oleh Kelab Astronomi Johor di Gerbang Mahkota Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada Khamis. - Foto Bernama
Aktiviti mencerap gerhana matahari separa oleh Kelab Astronomi Johor di Gerbang Mahkota Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kira-kira 20 ahli Kelab Astronomi Johor kecewa kerana tidak dapat melihat sendiri fenomena gerhana matahari separa susulan cuaca mendung dan berawan, selepas menunggu hampir dua jam di Gerbang Mahkota Istana Bukit Serene, di sini.

Bagaimanapun, pengasas kelab berkenaan, Mohd Nazam Anuar, 46, berkata, imej gerhana matahari separa itu berjaya dirakamkan oleh seorang ahli kelab, Zaki Aziz menggunakan teleskop jenis Dobsonian lapan inci di Kuala Terengganu, Terengganu.

"Alhamdulillah, menerusi ahli di Kuala Terengganu kita berjaya merakam dan membuat penstriman langsung menerusi Facebook Johor Astronomy Club. Kita dapat menangkap imej gerhana matahari hibrid daripada minimum pada 11 pagi hingga maksimum 12 tengah hari tadi.

"Apa yang unik dengan kelab ini, ahlinya bukan sahaja di Malaysia tetapi juga Asia dan Eropah. Jadi, walaupun tak nampak di sini, kita ada beberapa kumpulan yang turut memantau dan merakam fenomena ini di lokasi lain,” katanya ditemui di sini hari ini.

Mohd Nazam berkata kelab yang diasaskan pada 2014 itu, mempunyai kira-kira 200 ahli bukan sahaja di sekitar Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, bahkan di luar negara iaitu Pakistan, India, Brunei dan Ireland.

Untuk mencerap gerhana matahari hari ini, katanya terdapat 50 kumpulan yang bersedia dengan peralatan masing-masing di beberapa lokasi di Johor, Terengganu, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Mohd Nazam berkata, sepanjang bulan Ramadan ini, kelab itu turut berjaya merakam imej anak bulan Ramadan pada 22 Mac lepas, imej Galaksi Bimaksakti pada 24 Mac dan konjungsi bulan sabit serta planet Zuhal pada 16 April.

"Kami nak tingkatkan kesedaran kepada orang ramai mengenai astronomi dan kalau boleh nak jadikan aktiviti cerapan ini sebagai aktiviti masyarakat. Macam tempoh hari ketika cerapan anak bulan Ramadan, ada makcik pakcik di kawasan sekitar sertai kami sebab tak pernah tengok anak bulan,” katanya.

Peminat astronomi cilik, Muhammad Afif Syahmi Azfanizam, 9, berkata, dia bersama bapa, Azfanizam Abdul Aziz, 41, telah bersedia sejak pagi tadi bersama ibu, kakak dan adik perempuannya.

"Selalu tengok bulan guna teleskop di rumah, sebulan sekali,” katanya yang turut berkongsi minat dengan bapanya itu.

Bagi Siti Mardiah Md Sharum, 45, dia dan ahli keluarganya merupakan peminat astronomi dan sering mengikuti aktiviti kelab berkenaan menerusi Facebook.

Fenomena gerhana matahari seterusnya dijangkakan pada Ogos 2027. - Bernama