Tanjak laris menjelang Aidilfitri

Mohd Iskandar bersama sebahagian daripada koleksi tanjak yang terdapat di kedainya di Perkampungan Kraf di Larkin, Johor Bahru.
Mohd Iskandar bersama sebahagian daripada koleksi tanjak yang terdapat di kedainya di Perkampungan Kraf di Larkin, Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemakaian tanjak atau turut dikenali sebagai tengkolok dan destar kini tidak terhad pada majlis rasmi dan adat istiadat sahaja, sebaliknya semakin popular dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan muda.

Pembuat tanjak, Mohd Iskandar Abd Rahim, 45, berkata, permintaan terhadap tanjak semakin meningkat terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, jika sebelum ini jualan tanjak agak suram pada hari biasa, namun sepanjang Ramadan kali ini, dia mampu menjual sehingga 15 ke 20 tanjak sehari.

“Jualan tanjak ini sebenarnya bermusim, terutamanya pada hari raya dan sambutan merdeka. Tapi kita boleh lihat trend pemakaian tanjak ini semakin meningkat sejak empat tahun lalu, terutamanya dalam kalangan golongan muda.

“Tanjak yang dijual menggunakan beberapa material, antaranya kain ‘cotton’, songket dan pelekat dan dijual antara RM65 hingga RM130, bergantung kepada material, kesukaran karangan dan saiz.

“Tapi kalau dilihatkan sambutan, tanjak ‘cotton’ yang kosong lebih mendapat sambutan dalam kalangan anak muda kerana mudah dipadankan dengan ‘t-shirt’ dan seluar jeans manakala yang lebih berusia lebih gemarkan tanjak songket,” katanya ketika ditemui di Perkampungan Kraf di Larkin, di sini.

Mohd Iskandar menyiapkan tanjak yang ditempah pelanggan.
Mohd Iskandar menyiapkan tanjak yang ditempah pelanggan.

Iskandar yang berkemahiran membuat lebih daripada 20 jenis tanjak berkata, tanjak mempunyai hampir 500 jenis, namun yang paling mendapat sambutan adalah tanjak Mahkota Alam kerana sejarahnya dan material kain yang digunakan lebih lembut.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, tanjak jenis Takur Tukang Besi, Anderiguru Selebu, Nakhoda Trong, Bugis Tak Balik, Bulang Bidang, Tok Berus, Pancung Tak Bertanya, Cogan Daun Kopi, Ajutan Bingas, Bugis Peranakan dan Sumangek Ugik turut mendapat sambutan hangat.

Tambahnya, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu, dia kini turut menjual tanjak secara dalam talian dan mendapat permintaan dari seluruh negara.

“Sebelum ini ramai pelanggan yang datang ke Perkampungan Kraf ini bagi melihat sendiri dan memilih material yang mereka suka. Tapi sejak kesukaran untuk merentas negeri ini, pelanggan saya kini beralih kepada belian secara dalam talian.

“Saya terpaksa meminta bantuan rakan untuk menguruskan jualan dalam talian kerana permintaan yang tinggi sementara saya menumpukan kepada proses pembuatan tanjak,” katanya.

Tanjak 'cotton' kosong lebih digemari golongan muda manakala tanjak songket lebih disukai golongan berusia.
Tanjak 'cotton' kosong lebih digemari golongan muda manakala tanjak songket lebih disukai golongan berusia.

Ditanya tentang adab dan pantang pemakaian tanjak, Iskandar berkata, paling utama adalah pemakainya seelok-eloknya menutup aurat.

Selain itu, tanjak jangan dilangkah kerana ia dianggap ‘mahkota’ yang diletakkan di atas kepala.

“Orang Melayu kita ada adab dan tertibnya. Kalau diikutkan dalam semua perbuatan kita, perlu dijaga tanda sopan orang Melayu. Sebab itu jika ada pelancong dari luar negara yang ingin membeli tanjak ini, saya turut berpesan kepada mereka.

“Sebagai pembuat tanjak dan pencinta budaya Melayu, menjadi harapan saya agar pemakaian tanjak ini menjadi satu norma atau budaya masyarakat kita seterusnya menggantikan topi yang menjadi kebiasaan orang kita,” katanya.