Khabar angin PKP di Kuantan esok tidak benar

Tular satu makluman mengenai PKP di daerah Kuantan bermula Sabtu.
Tular satu makluman mengenai PKP di daerah Kuantan bermula Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Penyebaran makluman mengenai daerah Kuantan bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada esok adalah tidak benar.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penduduk tidak perlu terpengaruh dengan berita seperti itu.

"Kita hanya mencadangkan tindakan yang perlu diambil jika keadaan (peningkatan kes Covid-19) berterusan. Cadangan ini adalah bertujuan untuk memastikan keselamatan semua penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Bubur Lambuk Perpaduan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pak Mahat, di sini pada Jumaat.

Program anjuran Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Pahang itu turut dihadiri Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Timbalan Menteri Perpaduan, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.

Wan Rosdy (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk sempena Program Bubur Lambuk Perpaduan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pak Mahat, Kuantan pada Jumaat.
Wan Rosdy (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk sempena Program Bubur Lambuk Perpaduan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pak Mahat, Kuantan pada Jumaat.

Penyebaran pesanan WhatsApp mengenai kononnya daerah Kuantan bakal dikenakan PKP mula tersebar pada Khamis dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penduduk di daerah itu.

Berdasarkan kandungan pesanan WhatsApp itu, pelaksanaan PKP di Kuantan didakwa akan bermula Sabtu sehingga 22 Mei ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau meminta orang ramai menunggu pengumuman rasmi daripada Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jelasnya, orang ramai juga perlu mendapat maklumat yang tepat dan tidak mempercayai berita dari sumber yang tidak sahih.

"Sebarang keputusan dan pengumuman hanya boleh dibuat oleh menteri berkaitan dan ia berdasarkan penilaian risiko oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jadi kita tunggulah pengumuman rasmi.

"Kalau kita tengok kepada jumlah kes (positif) Covid-19 di Kuantan semakin meningkat. Justeru, kerajaan Pahang akan melakukan sesuatu jika keadaan ini (peningkatan kes) tidak berubah," katanya.

Sehingga tengah hari Jumaat, sebanyak 78 kes baharu direkodkan di Pahang membabitkan Kluster Lorong Galing, Mahkota Height, Tanah Putih Baru (Kuantan); Kluster Raub Jaya di Raub dan hasil saringan kontak rapat, bergejala dan saringan pra-pekerjaan.

Sebanyak tiga daerah iaitu Kuantan, Bentong dan Raub masih dikategorikan sebagai zon merah dengan jumlah kes aktif dan positif melebihi 41 kes.