Wanita Pejuang mahu polis siasat segera pendedahan Abdul Hamid

Wanita Pejuang Wilayah Persekutuan tampil membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak.
Wanita Pejuang Wilayah Persekutuan tampil membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wanita Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan mendesak supaya siasatan segera dijalankan terhadap pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai campur tangan politik dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketuanya, Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, apa yang berlaku ini merupakan perkara yang besar dan perlu diambil perhatian serta perlu siasatan segera oleh polis.

"Pendedahan Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai campur tangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam urustadbir lantikan jawatan-jawatan tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pentadbiran Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) adalah sesuatu yang serius.

"Apa yang berlaku ini bersalahan dengan peruntukan perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta semangat perundangan secara keseluruhannya," katanya selepas membuar laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak di sini pada Khamis.

"PDRM merupakan agensi yang perlu dielakkan daripada mana-mana pengaruh politik," katanya.

Menurutnya, tindakan Abdul Hamid dalam mendedahkan perkara tersebut merupakan langkah terpuji.

"Kita lihat tidak ada yang seberani beliau, yang berani mendedahkan sebegitu rupa, yang berani menentang penyalahgunaan kuasa dan ketidak adilan, bag saya ini satu sikap yang baik.

"Ramai yang menyatakan tindakan Abdul Hamid Bador itu sebagai tidak berintegriti kerana beliau mendedahkan perkara tersebut ketika beliau masih lagi memegang jawatan, namun ternyata pendedahan itu kerana beliau berani menentang ketidak adilan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, bekas Ketua Polis Negara itu mendakwa Hamzah melakukan campur tangan terhadap pelantikan pegawai kanan polis.

Beliau turut menyatakan wujud campur tangan Menteri Dalam Negeri itu untuk menentukan jawatan Pengarah Cawangan Khas (PCK) Bukit Aman selain terdapat usaha untuk menguasai Cawangan Khas bagi kepentingan politik.