Perak salur RM112,000 baik pulih rumah mangsa ribut

Saarani (kiri) melawat rumah yang terjejas akibat dilanda ribut di Kampung Indah, Pantai Remis di Manjung pada Khamis.
Saarani (kiri) melawat rumah yang terjejas akibat dilanda ribut di Kampung Indah, Pantai Remis di Manjung pada Khamis.
A
A
A

BERUAS - Kerajaan Perak menyalurkan bantuan sebanyak RM112,000 untuk kos pembaikan 104 rumah mangsa yang terjejas akibat ribut di sekitar daerah Manjung, di sini pada Selasa.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, jumlah itu disalurkan bagi kerja-kerja membaiki bumbung dan beberapa kerosakan lain dialami mangsa.

Menurutnya, kesemua rumah berkenaan melibatkan 25 kampung di Mukim Pengkalan Bharu, Beruas, Lekir dan Pangkor setelah penilaian dilakukan Pejabat Daerah dan Tanah Manjung.

“Bancian yang dilakukan mendapati 84 rumah mengalami kerosakan kecil, manakala 20 lagi terjejas teruk.

“Kita sudah minta untuk melantik kontraktor bagi memulakan kerja pembaikan dengan kadar segera kerana ada sebahagian mangsa akan menyambut Aidilfitri,” katanya selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di Pantai Remis, di sini pada Khamis.

Kata Saarani, bantuan berkenaan akan disalurkan menerusi Yayasan Bina Upaya (YBU).

“Kerajaan negeri akan bantu dan tanggung kerja pembaikan termasuk jika ada penambahan kos.

“Malah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) turut memaklumkan jika mangsa ribut adalah dalam ahli persatuan nelayan, mereka juga layak mendapat bantuan bencana alam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, media melaporkan lebih 30 rumah di Pengkalan Bharu mengalami kerosakan akibat dilanda ribut kira-kira jam 7.30 petang.