Ringgit dibuka lemah sedikit berbanding dolar AS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit gagal mempertahankan perolehan yang dicatatkan semalam untuk dibuka lemah sedikit pagi ini berbanding dolar AS dengan para peniaga dilihat mengambil pendekatan tunggu dan lihat berikutan penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, kata seorang peniaga.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan itu lega kepada 4.1170/1220 berbanding mata wang dolar 4.1150/1200 pada penutupan urus niaga petang Rabu.

Rakan Pengurusan Global SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, penyusutan harga minyak berikutan kegiatan pengambilan untung selepas stok produk minyak AS turun turut mempengaruhi prestasi ringgit.

"Selain itu, terdapatnya kebimbangan India beralih untuk melaksanakan sekatan pergerakan sepenuhnya sementara Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum pula mungkin akan mengurangkan tekanan mereka terhadap pasaran,” katanya.

Ketika ini, minyak mentah diniagakan pada AS$68.41 setong, menyusut 0.80 peratus.

Dalam pada itu, kerajaan pada Rabu telah mengeluarkan perintah pelaksanaan PKP di Kuala Lumpur dan beberapa daerah di Terengganu, Johor dan Perak mulai 7 hingga 20 Mei.

Mengulas mengenai perkara itu, Innes berkata, para peniaga akan terus mengambil sikap berhati-hati sambil mengharapkan PKP dapat meratakan lengkung pandemik sebelum bertaruh semula ke atas unit tempatan.

Dalam perkembangan lain, pelabur juga akan menantikan keputusan Bank Negara Malaysia terhadap kadar dasar semalaman pada mesyuarat dasar ketiganya lewat hari ini serta penilaian terkini bank pusat ke atas ekonomi domestik.

Artikel Berkaitan:

Pada paras pembukaan, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Berbanding dolar Singapura, ringgit menyusut kepada 3.0816/0856 daripada 3.0799/0848 dan lebih rendah berbanding yen kepada 3.7646/7702 daripada 3.7628/7677 pada Rabu.

Ringgit lebih lemah berbanding pound Britain kepada 5.7226/7300 daripada 5.7174/7256 dan lega berbanding euro kepada 4.9396/9468 daripada 4.9392/9461. - Bernama