Beras ERA sasar kutipan RM300,000, bantu pembangunan semula Gaza

JASMINE Food Corporation Sdn Bhd melalui jenama Beras ERA melancarkan kempen kemanusiaan #SinarUntukGaza secara rasmi, bertujuan menghulurkan bantuan kepada rakyat Gaza.
Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu disalurkan melalui sokongan ekonomi, kesihatan, keharmonian sosial serta pembangunan infrastruktur di Palestin.
Ketua Pegawai Operasi Jasmine Food, Alan Kwong berkata, pihaknya percaya sokongan berterusan daripada sektor korporat dan masyarakat amat penting bagi memastikan bantuan bukan sahaja bersifat jangka pendek, tetapi mampu memberi impak jangka panjang buat rakyat di sana.
"Kempen ini bukan sekadar satu inisiatif pengumpulan dana bantuan, tetapi juga sebagai gerakan yang perlu sentiasa dilakukan bagi menggalakkan lebih ramai individu, organisasi dan komuniti untuk berdiri teguh bersolidariti bersama Gaza.
"Jasmine Food komited memastikan setiap sumbangan disalurkan secara telus dan berperingkat melalui rakan pelaksana yang berpengalaman serta diiktiraf.
"Diharapkan kempen ini dapat menjadi platform kesedaran dan penyatuan rakyat Malaysia dalam menyokong usaha kemanusiaan global, selari nilai keprihatinan yang menjadi teras kepada jenama Beras ERA," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Majlis pelancaran kempen yang berlangsung di pejabat Cinta Gaza Malaysia (CGM) disempurnakan oleh Alan dan turut dihadiri rakan-rakan strategik iaitu Persatuan CGM serta Mercy Malaysia.
Antaranya, Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Nadir al-Nuri Kamaruzaman; Ketua Pegawai Operasi, Johan Muhammad dan Ketua Pegawai Kewangannya, Mohd Faizal Suleiman.

Bagi pihak Mercy Malaysia diwakili Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia, Hakim Hamzah serta Ex Officio, Dr Siti Maisarah Ahmad.
Kempen #SinarUntukGaza akan dilaksanakan di Pantai Timur, merangkumi Kelantan dan Terengganu bermula 1 Januari hingga 31 Mac 2026.
Melalui kempen tersebut, setiap pembelian Beras ERA Cap Sinar Timur akan menyumbang dana kepada usaha bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula Gaza dengan sasaran RM300,000.
Ringkasan AI
- Jasmine Food Corporation Sdn Bhd melancarkan kempen kemanusiaan #SinarUntukGaza untuk bantu rakyat Gaza
- Kempen ini termasuk bantuan ekonomi, kesihatan, keharmonian sosial dan pembangunan infrastruktur di Palestin
- Sokongan berterusan dari sektor korporat dan masyarakat dianggap penting untuk impak jangka panjang
- Kempen #SinarUntukGaza melibatkan pengumpulan dana dan galakan solidariti bersama Gaza
- Setiap pembelian Beras ERA Cap Sinar Timur akan menyumbang ke usaha bantuan dan pembangunan semula Gaza dengan sasaran RM300,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

