Rapid KL susun semula laluan bas koridor

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rapid KL mengumumkan penyusunan semula laluan bas di Koridor Jalan Ipoh dan Jalan Pahang yang melibatkan empat laluan dipendekkan, dua laluan ditamatkan dan satu laluan disusun semula berkuat kuasa 17 Mei ini.

Prasarana Malaysia Berhad dalam kenyataan pada Selasa berkata, empat laluan yang dipendekkan adalah laluan 170, 191, 200 dan 201 manakala laluan yang disusun semula adalah Laluan 251 sementara dua laluan yang ditamatkan adalah Laluan 172 dan 690.

“Penyusunan semula laluan ini dibuat selepas kajian terperinci berdasarkan kepada jumlah penumpang yang rendah di samping pertindihan perkhidmatan dan kehadiran pengangkutan awam alternatif untuk pengguna gunakan seperti perkhidmatan bas GOKL, perkhidmatan Monorel dan LRT.

“Ia membolehkan kami menggunakan bas secara lebih cekap dengan meningkatkan kekerapan beberapa laluan lain sesuai dengan permintaan bagi membantu memastikan kelestarian operasi secara keseluruhan dan terus menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dengan sumber yang sedia ada,” katanya.

Laluan yang dipendekkan adalah laluan 170 melibatkan Hab Wira Damai-BSN Lebuh Ampang yang dipendekkan kepada LRT Sentul, laluan 191 (Taman Sri Segambut-Monorel Chow Kit), laluan 200 (UIA Gombak-Monorel Chow Kit) dan laluan 201 (Bt 12 Gombak-LRT Sentul).

Laluan yang disusun semula melibatkan laluan 251 (AU3 Jentayu-Monorel Chow Kit) dan laluan yang ditamatkan membabitkan laluan 172 (Taman Greenwood-Sogo,KL) serta laluan 690 (Pudu Sentral-Terminal Bersepadu Selatan).

Menurut kenyataan itu, penyusunan semula laluan bas ini merupakan proses rasionalisasi laluan bas secara berperingkat yang dilaksanakan sejak 2018 bagi mengoptimumkan sumber dan aset di samping menangani cabaran dan kekangan akibat penularan wabak Covid-19 ketika ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: