Tanah wakaf: 13 penduduk akur pindah

Penduduk berkumpul untuk menandatangani dokumen dengan pihak MAINPP.
Penduduk berkumpul untuk menandatangani dokumen dengan pihak MAINPP.
A
A
A

BUTTERWORTH - Isu tanah wakaf Kampung Jalan Mengkuang di sini selesai selepas baki 13 penduduk menandatangani dokumen perjanjian dengan pihak Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan bersetuju untuk keluar.

MAINPP juga bersetuju untuk melanjutkan masa seminggu lagi kepada penduduk bagi mengosongkan rumah mereka.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Jalan Mengkuang, Abdul Hamid Khan Hussin berkata, pihaknya akur dengan apa yang ditetapkan MAINPP namun berharap pihak MAINPP mempertimbangkan beberapa perkara terhadap mereka.

"Antara permintaan kami adalah duit sewa dinaikkan. RM500 tak cukup, minta RM900 kalau bagi RM700 pun Alhamdulillah.

"Kami juga minta pihak MAINPP tunjukkan kepada kami pelan cadangan pembangunan dan surat perjanjian di mana kami nak dok sini balik setelah pembangunan di sini siap kelak," katanya.

Isu berkaitan tanah wakaf Jalan Mengkuang ini difahamkan sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.

Terdahulu, pada 13 Disember lalu, MAINPP akan meneruskan pembangunan dirancang di atas Tanah Wakaf Masjid Abdul Cauder di Lot 208, Seksyen 2, Jalan Mengkuang, Seberang Perai Utara (SPU) berdasarkan keputusan mahkamah yang diperoleh pada 28 Februari 2014.

Yang di-Pertua MAINPP, Datuk Abdul Malik Kassim berkata, sebelum ini pihaknya masih meneruskan tawaran pampasan kepada baki penghuni yang enggan berpindah keluar.

Artikel Berkaitan:

“MAINPP perlu melihat senario ini dengan lebih meluas apabila ia melibatkan 32 penghuni lain yang telah bersetuju (untuk berpindah keluar).

“MAINPP juga tidak mahu tertarik ke dalam isu ini bukan sahaja demi nasib 32 penghuni yang bersetuju pindah, tetapi juga umat Islam keseluruhannya atau mereka yang berpotensi untuk menghuni di kawasan yang bakal dibangunkan itu,” katanya.

Abdul Hamid
Abdul Hamid

Dalam kenyataan disiarkan sebuah media perdana semalam, Abdul Hamid menyatakan penduduk enggan menerima tawaran selagi MAINPP masih belum mengemukakan pelan pembangunan tanah wakaf kepada penduduk terlibat.

Tambah Abdul Hamid, permohonan pelan tersebut telah dimohon sejak lapan tahun lalu namun tiada maklum balas diterima.

Dalam pada itu, Abdul Malik, sebagai respon menyifatkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk itu sebagai satu helah untuk tidak mahu berpindah.

“Sungguh tidak munasabah kerana MAINPP sebelum 2010 lagi telah memulakan usaha melalui Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) untuk membangunkan kawasan tersebut, malah kita (MAINPP) juga mempunyai lakaran lengkap perspektif pembangunan kawasan tersebut.

“Sebab itu saya katakan bahawa pendirian serta kenyataan pengerusi tersebut adalah satu helah sahaja untuk tidak berpindah sungguhpun MAINPP telah menawarkan rumah ganti rumah kepada penghuni bersetuju,” tegasnya.

Sebagai rekod, pada 2010, pihak JAWHAR memperuntukkan sejumlah RM50 juta bagi pembangunan di atas lot tersebut untuk membina rumah pangsa kos sederhana rendah 22 tingkat dengan jumlah unit mencecah 470 unit.

Namun, setelah tempoh penerimaan tawaran berakhir pada 15 September 2010, hanya 32 daripada 46 penghuni bersetuju, manakala yang lain enggan menerima tawaran sehingga ke hari ini meskipun dalam tempoh tersebut beberapa siri pertemuan telah diadakan.

Tawaran diberikan MAINPP meliputi rumah ganti dengan keluasan 1,000 kaki persegi setiap unit, bayaran sewa rumah sementara sebanyak RM500 sebulan sehingga rumah pangsa siap, bayaran elaun keluar rumah RM4,000 dan bayaran elaun masuk rumah RM3,500 manakala bagi keluarga berkelamin, hanya bayaran elaun keluar rumah RM4,000 ditawarkan.