Laksanakan segera PdPR: Kee Chin

Cha Kee Chin (kanan) bersama Gunasekaran (dua dari kanan) semasa membuat tinjauan kerja sanitasi di SJKC Sungai Salak pada Isnin.
Cha Kee Chin (kanan) bersama Gunasekaran (dua dari kanan) semasa membuat tinjauan kerja sanitasi di SJKC Sungai Salak pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan diminta untuk menyegerakan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi mengekang penularan Covid-19 di sekolah.

Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin berkata, tindakan pantas perlu dilakukan bagi memastikan keselamatan pelajar dan guru terjamin.

Katanya, penularan Covid-19 semakin serius dalam kalangan komuniti sehingga menyebabkan banyak sekolah terpaksa ditutup.

"Sekolah-sekolah yang ada sekarang ini seakan 'menunggu giliran' untuk ditutup, disebabkan setiap hari pasti ada kes baharu melibatkan pelajar sekolah sehingga sekolah itu perlu ditutup.

"Dalam Parlimen Rasah sahaja lebih 20 sekolah telah diarahkan tutup berikutan terdapat jangkitan kes Covid-19 membabitkan pelajar atau pun guru itu sendiri.

"Kita tidak mahu ada lagi sekolah ditutup, jadi tindakan drastik dengan melaksanakan segera PdPR ini pasti dapat melandaikan penularan," katanya.

Tambahnya, pentadbiran sekolah terpaksa menanggung beban apabila terdapat jangkitan di sekolah yang mana ia bukan disebabkan sekolah tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sebaliknya pelajar dapat jangkitan daripada luar.

Beliau berkata demikian semasa melakukan tinjauan kerja-kerja sanitasi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sungai Salak di Seremban Jaya pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Seremban Jaya, P Gunasekaran dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru dan Murid, Foo Mei Yun.

Jelas Kee Chin, beliau telah menghantar surat kepada Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin, bagi mendesak supaya PdPR dapat dilaksanakan dalam kadar segera.

Pada Khamis lalu, seorang pelajar tahun lima sekolah tersebut disahkan Covid-19 selepas menjangkiti ibunya, akibat daripada itu kerja-kerja sanitasi perlu dilakukan bagi mengekang penularan tersebut.

Semua kos pembersihan dan sanitasi ini ditanggung sepenuhnya oleh Pejabat Khidmat DUN Seremban Jaya.

Sesi pembelajaran selepas cuti Aidilfitri akan diteruskan dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dipetik sebagai berkata, sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).