Program Ziarah Ramadan Siri 3 santuni pelajar UniKL

Abdul Hakim bergambar bersama pembayar dan penerima zakat pada Program Ziarah Ramadan di UniKL.
Abdul Hakim bergambar bersama pembayar dan penerima zakat pada Program Ziarah Ramadan di UniKL.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyantuni 200 asnaf B40 di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam program Ziarah Ramadan siri 3 pada Jumaat.

Program kali ini membawa dua syarikat pembayar zakat iaitu Malakoff Corporation dan Darussalam Group of Companies untuk merasai sendiri pengalaman mengagihkan zakat kepada golongan asnaf.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, sebanyak RM45,000 diperuntukkan bagi penyampaian khas duit raya RM200 kepada pelajar, kuih raya serta juadah berbuka puasa.

"Kami menyampaikan duit wakalah daripada zakat yang dikeluarkan syarikat berkenaan untuk diagihkan sendiri kepada asnaf.

“Syarikat-syarikat ini memilih asnaf terdiri daripada pelajar untuk menyampaikan sumbangan dan merasai sendiri kerja yang dilakukan oleh Baitulmal-MAIWP dalam proses agihan zakat,” katanya selepas hadir menyampaikan sumbangan Program Ziarah Ramadan Siri 3 di UniKL pada Jumaat.

Turut hadir Pengarah Urusan Darussalam Group of Companies, Datuk Mohamed Nijamudeen Ibrahim; Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Malakoff Corporation, Md Yuha Ismail; Pengurus Bahagian Baitulmal-MAIWP, Ahmad Talmizi Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof Dr Shahrulniza Musa.

Abdul Hakim menyampaikan sumbangan kepada pelajar asnaf UniKL pada Program Ziarah Ramadan pada Jumaat.
Abdul Hakim menyampaikan sumbangan kepada pelajar asnaf UniKL pada Program Ziarah Ramadan pada Jumaat.

Abdul Hakim berkata, sebanyak empat siri Program Ziarah Ramadan dirangka dan yang terakhir akan diadakan pada Jumaat depan bersama golongan orang kurang upaya (OKU) termasuk OKU buta.

Artikel Berkaitan:

“Pada siri pertama kita telah menyantuni golongan peniaga dan asnaf, diteruskan pada siri kedua bersama asnaf miskin di Bandar Tun Razak diikuti pelajar dan menyusul OKU.

“Program ini sedikit sebanyak dapat membuka mata masyarakat bahawa bayaran zakat yang dilakukan pastinya akan disalurkan kepada golongan yang layak,” katanya.