Pemuda UMNO Bukit Gantang rayu Agong campur tangan

Mohd Kamal (dua dari kiri) dan Mohd Adri Adha (tengah) bersama ahli jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di IPD Taiping, di sini pada Ahad.
Mohd Kamal (dua dari kiri) dan Mohd Adri Adha (tengah) bersama ahli jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di IPD Taiping, di sini pada Ahad.
A
A
A

TAIPING - Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang merayu campur tangan Yang di-Pertuan Agong dalam memastikan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bebas daripada campur tangan politik.

Naib Ketuanya, Mohd Kamal Ariffin Mat Arshad berkata, pendedahan yang dibuat oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai wujudnya campur tangan politik dalam pelantikan pegawai polis membimbangkan rakyat.

Menurutnya, organisasi perkhidmatan awam seperti PDRM perlu dikendalikan sendiri oleh pihak polis agar ia tidak dipengaruhi oleh pihak lain.

"Kita faham menteri ada kuasa tetapi sehinggakan urusan pelantikan jawatan ini tak sesuai. Polis perlu menjadi badan bebas tak perlu ada campur tangan politik kerana bila ada campur tangan politik, dibimbangi akan berlaku ketidakadilan, kes-kes hanya yang terpilih diambil tindakan.

"Sebab itu kita merayu keprihatinan Yang di-Pertuan Agong untuk melihat keadaan ini. Kita sebagai rakyat Malaysia nak bergantung harap kepada siapa jika polis sendiri ada campur tangan politik yang tak sepatutnya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada Ahad.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Bukit Gantang, Mohd Adri Adha Mohamad berkata, pihaknya turut mendesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berkaitan prosedur pelantikan Ketua Polis Negara.

Menurutnya, pengakuan rakaman suara yang tular mengenai pelantikan pegawai kanan polis oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga harus disiasat.

"Situasi yang berlaku itu menjatuhkan maruah dan merosakkan integriti PDRM. Polis sepatutnya menjadi penguat kuasa undang-undang dan bukan tangan-tangan orang politik.

Artikel Berkaitan:

"Sepatutnya menteri kena letak jawatan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu menyiasat unsur salah guna kuasa di dalam rakaman audio tersebut," katanya.

Jelas Mohd Adri Adha, bukan sahaja imej PDRM, malah imej negara turut tercemar dengan pendedahan itu sekaligus dibimbangi menjejaskan keyakinan pelabur ke Malaysia.