MARA kekalkan YTP, peluang pelajar cemerlang SPM ke luar negara

Pengerusi MARA, Datuk Hajah Azizah Mohd Dun
Pengerusi MARA, Datuk Hajah Azizah Mohd Dun
A
A
A

Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan sebuah agensi peneraju yang bertanggungjawab dalam kemajuan sosio-ekonomi bumiputera supaya mereka dapat bersaing dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Sejak 55 tahun penubuhannya, MARA telah berjaya melahirkan seramai 2.5 juta pelajar dan graduan meliputi pendidikan akademik, kemahiran dan teknikal, pendidikan tinggi dan program pinjaman pelajaran dalam dan luar negara.

Program penganjuran pelajaran MARA telah diwujudkan sejak 1966 dan telah menaja seramai 523,940 orang Pelajar bagi menyambung pengajian dalam dan luar negara.

Bagi tahun 2021, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2 bilion kepada MARA di bawah Program Penganjuran Pelajaran MARA dan menyasarkan 60,000 pelajar menerima manfaat penajaan di bawah skim pinjaman boleh ubah di dalam dan luar negara.

Setakat hari ini, seramai 46,862 orang pelajar telah menerima manfaat daripada dana yang diperuntukkan tersebut. Pengerusi MARA, Datuk Hajah Azizah Mohd Dun berkata MARA masih mengamalkan dasar menghantar pelajar ke luar Negara terutamanya kepada pelajar Cemerlang untuk menyambung pengajian di bidang profesional di universiti terkemuka dunia.

Tambah beliau, pelaksanaan program ini adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam menghasilkan modal insan yang berkualiti, bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja berjaya dalam akademik tetapi mempunyai akhlak dan sahsiah terpuji serta berketrampilan tinggi.

Young Talent Development Programme (YTP) menawarkan tiga jenis laluan persediaan iaitu ke luar negara, dalam negara dan ulul albab. Bagi mengikuti program persediaan ke luar negara, sebanyak lapan buah institusi pendidikan yang terlibat iaitu Kolej MARA Banting, Kolej MARA Seremban, German Malaysian Institute (GMI), Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Universiti Kuala Lumpur Malaysia France Institute (UniKL MFI), Universiti Kuala Lumpur – Malaysian Institute of Information Technology (UniKL MIIT), INTEC Education College dan Kolej Yayasan Pahang (KYP).

Manakala institusi yang menawarkan program persediaan ke dalam negara ialah Kolej MARA Kulim, Kolej Profesional MARA Beranang, Kolej Profesional MARA Ayer Molek, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Multimedia Universiti (MMU), UniKL-Japan Universities Programme.

Artikel Berkaitan:

Seterusnya, dua program baharu di bawah laluan persediaan Ulul Albab melibatkan Universiti Cyberjaya(UoC) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Program khas ini menawarkan pinjaman boleh ubah fokus untuk pelajar lepasan SPM yang cemerlang bagi menyambung pengajian di institusi terpilih dalam dan luar negara. Pelajar terpilih akan mengikuti program persediaan selama 1 hingga 2 tahun sebelum menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda mengikut bidang pengajian yang diikuti.

Pinjaman Pelajaran di peringkat persediaan ini merangkumi yuran pengajian, elaun sara hidup serta elaun pengangkutan. Elaun pengangkutan (pergi & balik) hanya akan dibayar kepada Pelajar semenanjung yang mendapat tawaran pengajian di Sabah/Sarawak atau pelajar Sabah/Sarawak yang mendapat tawaran pengajian di Semenanjung.

Pinjaman pelajaran yang diperolehi diteruskan sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Selain dari YTP, terdapat beberapa program di bawah Penganjuran Pelajaran seperti World’s Top Universities (WTU), IPMA Excellent Programme (IESP), Graduate Excellent Programme (GrEP), Professional Development Programme (Pro-P) dan banyak lagi.

“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada pelajar lepasan SPM yang cemerlang untuk merebut peluang penajaan yang disediakan oleh MARA untuk menyambung pengajian tinggi di dalam dan luar negara tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan,” katanya.

Melalui peruntukan yang disediakan ini membuktikan kerajaan begitu prihatin dalam agenda pemerkasaan Bumiputera terutama mereka yang datang daripada masyarakat luar bandar untuk menjadi tulang belakang kepada asas pembangunan negara.

Permohonan bagi mengikuti YTP secara atas talian telah dibuka kepada Pelajar lepasan SPM 2020 bermula 19 April hingga 6 Mei 2021 dengan melayari portal rasmi MARA www.mara.gov.my.

PECAHAN BILANGAN PELAJAR YTP MENGIKUT NEGARA

NEGARA JUMLAH

AUSTRALIA 90

KANADA 22

MESIR 49

PERANCIS 79

INDIA 228

KOREA SELATAN 82

IRELAND 167

RUSIA 33

SINGAPURA 1

SEPANYOL 19

UNITED KINGDOM 652

AMERIKA SYARIKAT 48

JERMAN 204

Jumlah Keseluruhan 1,674

PENGANJURAN PELAJARAN MARA

* Pelajar tajaan semasa - 46,862

* Sasaran pelajar baharu 2021 -25,000

* Sasaran pelajar ke luar negara 2021 – 1,500

Program yang ditawarkan:

* Young Talent Development Programme (YTP)

* Tertiary Education Sponsorship Programme (TESP)

* IPMA Excellent Programme (IESP)

* STPM/STAM Excellent Programme (STEP)

* World's Top Universities (WTU)

* Professional Development Programme (Pro-P)

* Graduate Excellent Programme (GrEP)

* Advance Education Sponsorship Programme (ASEP)

* MARA Education Sponsorship Hybrid Programme (MESH)

Fokus 9 bidang profesional:

* Kejuruteraan

* Sains Hayat

* Sains Ikhtisas & Sains Komputer

* Senibina (Arkitek)

* Pengurusan perniagaan

* Pengangkutan

* Perakaunan & Kewangan

* Keselamatan makanan

* Animasi & Multimedia Kreatif

Realisasi impian ke universiti terbaik dunia

Nur Izzratul kini menyambung pengajian dalam bidang ‘Earth and Ocean Science’ di University of British Columbia, Kanada.
Nur Izzratul kini menyambung pengajian dalam bidang ‘Earth and Ocean Science’ di University of British Columbia, Kanada.

IMPIANNYA yang ingin mengubah nasib keluarga menyebabkan pelajar tajaan MARA, Nur Izzratul Badaruzaman belajar bersungguhsungguh dan tidak melepaskan setiap peluang yang diberikan.

Meskipun berasal dari keluarga yang sederhana, ia bukanlah penghalang kepada Nur Izzratul untuk memperolehi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang.

Anak jati Bahau, Negeri Sembilan berusia 21 tahun ini berjaya melepasi kelayakan yang ditetapkan oleh MARA dan kini mengikuti pengajian pada peringkat Ijazah dalam bidang Earth and Ocean Science di University of British Columbia, Kanada.

“Terima kasih MARA kerana memberikan peluang kepada saya untuk menggapai impian dan cita-cita saya. Saya mahu membantu keluarga,” kata anak kepada pasangan Badaruzaman Harun dan Noor’ Aini Abdul Manan.

Nur Izzratul mendapat tahu mengenai Young Talent Development Programme (YTP), menerusi bantuan gurunya, Suzana Zukri. Dia menghadiri taklimat mengenai YTP di Seremban pada tahun 2018 untuk merancang pengajian di peringkat lebih tinggi.

“Alhamdulillah, saya berjaya mengikuti pengajian persediaan di Kolej MARA Seremban,” katanya yang merupakan anak pertama daripada dua beradik.

Ditanya mengenai pembelajaran di Kanada, katanya dia tidak mempunyai banyak pengalaman suasana di kampus kerana pengajiannya adalah 100 peratus dijalankan secara dalam talian.

Namun dia bersyukur kerana komuniti di kampus amat membantu malah banyak sumber yang boleh dimanfaatkan oleh Pelajar secara online seperti program tutor bersama pelajar PhD dan juga khidmat kaunseling.

Nur Izzratul mahu menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun akan datang dengan sempurna dan berbakti semula kepada kedua ibu bapanya yang hanya bekerja kampung.

Muhammad Adam dianugerahkan ‘Top in the World’ untuk subjek Matematik pada 2019, kini menyambung pengajian di London.
Muhammad Adam dianugerahkan ‘Top in the World’ untuk subjek Matematik pada 2019, kini menyambung pengajian di London.

Sementara itu, kejayaan luar biasa dua pelajar Kolej Mara Seremban, Muhammad Adam Abdul Rashid dan Nur Hidayah Khosim yang menerima anugerah Top in the World untuk subjek Matematik membanggakan rakyat

Malaysia malah mengangkat Malaysia di mata dunia.

Anugerah bertaraf dunia itu diberikan oleh Cambridge Assessment International Education (CAIE) untuk pelajar yang berjaya mendapat markah tertinggi di seluruh dunia dan juga tertinggi di seluruh negara.

Kejayaan kedua-dua mereka mendapat anugerah Top in the World untuk subjek Matematik pada 2019 itu juga melayakkan mereka untuk mengikuti pengajian di London School of Economic and Political Science pada hari ini.

Biarpun sudah berjaya mendapat tempat di pusat pengajian berprestij dunia, namun kedua-dua mereka menyifatkan banyak lagi pengorbanan diperlukan untuk terus menempatkan diri berada dalam kalangan yang terbaik di sana.

Muhammad Adam yang juga merupakan anak jati Selangor nekad untuk terus membuktikan kejayaan seiring dengan kerja keras yang perlu dilakukan agar harapan kedua ibu bapa serta guru-gurunya tidak sia-sia.

“Saya tekad untuk terus beri yang terbaik. Saya akan gunakan sepenuhnya kemudahan diberi untuk berjaya dalam kursus yang diduduki di sini,” katanya yang mudah menyesuaikan diri sepanjang mengikuti pengajian di London

School of Economic and Political Science.

“Kami mendapat tunjuk ajar ilmuwan yang pakar dalam pelbagai bidang, pelbagai buku rujukan tersedia termasuk kemudahan aplikasi belajar.

“Universiti telah berusaha mendedahkan pelajar dengan virtual events supaya kami dapat merasa kehidupan universiti sebenar walaupun ketika pandemik Covid-19,” katanya.

Nur Hidayah turut membanggakan Malaysia dengan penerimaan anugerah ‘Top in the World’.
Nur Hidayah turut membanggakan Malaysia dengan penerimaan anugerah ‘Top in the World’.

Sementara itu, Nur Hidayah anak kepada pasangan guru, Khosim Hasan dan Faridah Md Isa pula berkata, perasaan tidak percaya masih lagi menyelubunginya kerana mendapat peluang belajar di universiti yang sama.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang oleh MARA untuk menyambung pelajaran ke universiti berprestij dunia di London School of Economic anda Political Science ini,” kata bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA Kubang Pasu itu.

“Kampus di sini masih jalankan secara online, jadi saya masih belum berpeluang merasai suasana kampus yang sebenar. Saya harap bermula tahun akademik yang akan datang kelas akan berjalan di kampus seperti biasa,” katanya.

Dia turut berharap pelajar di Malaysia dapat merebut peluang menerusi tajaan dan kemudahan tersedia dalam negara bagi melanjutkan pelajaran di luar negara namun ia perlu diiringi dengan kerja keras dan berterusan.

"Dari situ, rangka perancangan anda selepas tamat SPM. Pastikan ada pilihan lain dan sandaran jika pilihan pertama tidak dapat dicapai,” nasihatnya.