Mustapha berdepan cabaran bantu 47 rakyat Malaysia

Mustapha dan Okhna bergambar bersama 47 tahanan Malaysia di Kemboja yang berjaya dibebaskan.
Mustapha dan Okhna bergambar bersama 47 tahanan Malaysia di Kemboja yang berjaya dibebaskan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican berdepan pelbagai cabaran untuk membebaskan 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey, Kemboja pada 11 Disember lalu.

Jelasnya, beliau hanya ada masa selama enam hari sahaja untuk menguruskan pembebasan kesemua mangsa yang berumur antara 19 hingga 40 tahun itu.

Bagaimanapun, semuanya cabaran yang terpaksa ditempuhi berjaya diselesaikan dan berjalan lancar hasil kerjasama dan sokongan daripada Menteri Kanan Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan.

"Dalam tempoh enam hari, kami perlu menyelesaikan pelbagai peringkat rundingan tanpa membelakangkan undang-undang di Kemboja.

Mustapha (kiri) bersama Okhna dalam satu pertemuan bagi membincangkan pembebasan 47 tahanan Malaysia di Kemboja pada 11 Februari lalu.
Mustapha (kiri) bersama Okhna dalam satu pertemuan bagi membincangkan pembebasan 47 tahanan Malaysia di Kemboja pada 11 Februari lalu.

"Urusan membebaskan mereka dilakukan dalam kadar segera sebelum kes dibawa ke mahkamah memandangkan kos guaman boleh mencecah AS$2,000 (RM8,165) untuk seorang tahanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Semalam, seramai 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey, Kemboja sejak 11 Disember 2018 berjaya dibebaskan dan pulang ke tanah air selepas beberapa rundingan berjaya diadakan antara pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia.

Mereka ditahan di negara berkenaan selepas dipercayai menjalankan aktiviti perjudian online secara haram yang disyaki didalangi sindiket pemerdagangan manusia dari China.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menyarankan agar rakyat Malaysia merujuk Wisma Putra bagi mengenal pasti sebarang kesahihan berhubung peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh syarikat asing menerusi laman sosial atau aplikasi WeChat.

Mustapha yang mempunyai pengalaman sebagai NGO selama 20 tahun di Kemboja berkata, langkah tersebut bagi mengelakkan orang ramai ditipu ejen dan sindiket yang akhirnya mendatangkan kemudaratan pada kemudian hari.

"Tiada salah bagi kita (rakyat Malaysia) bekerja di negara orang tetapi, pastikan syarikat atau ejen yang dipilih sah dan selamat.

"Justeru, Wisma Putra merupakan tempat rujukan yang terbaik kerana sentiasa memberikan khidmat nasihat dan informasi mengenai hal-hal luar negara kepada rakyat Malaysia," katanya.