Kerajaan lulus pinjaman RM1.393 bilion

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah meluluskan sebanyak 7,424 permohonan dengan jumlah nilai pinjaman RM1.393 bilion di bawah program Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) setakat 16 April, 2021.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, di bawah program tersebut, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 bilion yang mengutamakan PKS yang belum pernah mendapat pinjaman daripada bank sebelum ini.

Bagi tempoh sama katanya, seramai 12,662 PKS mikro termasuk dalam bidang peruncitan dan perkhidmatan telah menerima manfaat Pembiayaan Mikro Kredit Penjana di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM421.1 juta.

Beliau berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-51, yang dikeluarkan pada Jumaat.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion kepada PKS dan PKS mikro yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Setakat 16 April, terdapat 644 permohonan bagi pembiayaan ini, dan daripada jumlah ini sebanyak 321 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM63.9 juta,” katanya.

Sebagai sokongan kepada penggunaan teknikal dan digital bagi PKS dan syarikat di peringkat pertengahan (MTC), sejumlah RM65.3 juta telah disalurkan kepada 13,864 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi.

Bagi program subsidi upah (PSU) 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat PSU di bawah Prihatin dan Penjana, dan setakat 16 April, permohonan subsidi upah yang diluluskan telahpun mencapai nilai RM12.872 bilion.

Artikel Berkaitan:

“Sementara itu, di bawah Kita Prihatin pula, kita ada Program Subsidi Upah (PSU 2.0) dan setakat 16 April, sejumlah RM1.148 bilion telah disalurkan kepada 73,210 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 631,801 pekerja.

“Di bawah program insentif pengambilan pekerja dan bantuan latihan, seramai 132,403 pekerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini, dan antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit,” katanya.

Tengku Zafrul berkata antara inisiatif lain kerajaan termasuklah elaun khas barisan hadapan dan setakat 16 April, sebanyak RM656.57 juta telah disalurkan berdasarkan 1,876,632 tuntutan berbanding RM647.33 juta berdasarkan 1,822,927 tuntutan pada minggu sebelumnya kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak Covid-19.

Katanya, elaun khas ini juga dipanjangkan kepada anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota (Rela) yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagi inisiatif di bawah Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (Cendana), sebanyak RM3.01 juta telah disalurkan kepada 469 penerima berbanding RM 2.43 juta yang disalurkan kepada 441 penerima sebelum ini.

“Penerima terdiri daripada kalangan seniman, kolektif dan organisasi yang terlibat aktif dalam sektor seni dan budaya Malaysia,” katanya.