X

Kindly register in order to view this article
!

Kukuhkan integriti ketika Ramadan

A
A

ANTARA penghayatan akhlak mulia yang boleh disuburkan pada bulan Ramadan ialah integriti. Kamus Dewan Perdana (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2020) mentakrifkan integriti sebagai kejujuran dan kebolehpercayaan untuk melakukan tindakan.

Integriti mempunyai dua elemen penting: (i) Kejujuran dalam sesuatu tindakan; dan (ii) Pelaksana tindakan boleh dipercayai. Inilah antara sifat terpuji yang diajar oleh Islam, seperti penjagaan amanah serta benar dalam percakapan. Bila amanah dijaga sebaik mungkin dan manusia bercakap benar, maka masyarakat akan menjadi lebih aman dan sejahtera.

Keadaan pecah amanah serta pembohongan yang dilakukan oleh insan menjadi jalan pintas bagi kerosakan masyarakat. Kerosakan ini berlaku pada dua peringkat: di peringkat masyarakat umum; dan dalam kalangan para pemimpin yang dilantik dalam sistem demokrasi.

Pelan Integrasi Nasional (PIN) yang dirasmikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 23 April 2004 mengandungi usaha untuk membangun masyarakat yang mempunyai ciri integriti, moral yang tinggi, nilai etika yang baik, nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur. PIN ini dinaik taraf hingga menjadi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dan telah dirasmikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada Januari 2019. Ia mengandungi 115 inisiatif antirasuah bagi pelbagai sektor kerajaan dan swasta.

Sehingga kini, kerajaan Malaysia telah melaksanakan sebanyak 28 inisiatif di bawah enam strategi pelaksanaan NACP. Usaha ini dibantu oleh pelbagai agensi dan badan berkanun bagi memantau dan menilai keberkesanan semua inisiatif ini di sektor kerajaan mahupun swasta.

Beberapa akta seperti Akta 700 telah dikuatkuasakan. Dengan tertubuhnya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), aduan salah laku daripada orang ramai terhadap pegawai penguat kuasa atau agensi penguatkuasaan dapat diterima dan tindakan diambil. Pengarah EAIC, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, dalam wawancara Sinar Harian bertarikh 22 April 2021 menegaskan bahawa integriti adalah tanggungjawab setiap individu. Masyarakat mestilah terus dididik dari peringkat kanak-kanak lagi tentang kepentingan serta kesan positif integriti.

Walaupun agensi ini telah memainkan peranan masing-masing, namun ia belum berjaya lagi. Peningkatan kes salah laku dan aktiviti rasuah ini masih menjadi realiti masyarakat. Dilaporkan bahawa seramai 322 individu ditangkap kerana kes rasuah dari Januari 2021 sehingga Mac 2021.

Statistik tangkapan bagi ketiga-ketiga bulan pertama tahun 2021 menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu. Penangkapan yang dilakukan pada bulan Januari 2020 ialah 81 individu, pada bulan Februari seramai 84 orang dan pada bulan Mac seramai 46 orang. Usaha gigih telah ditunjukkan pihak berkuasa untuk membanteras amalan rasuah, namun tahap integriti yang cemerlang masih belum tercapai.

Sewaktu berpuasa, wujud usaha untuk membenteng diri daripada amalan keji serta sifat mazmumah. Jadikanlah puasa di bulan Ramadan ini sebagai peluang untuk kita mendidik diri untuk berlaku jujur, menjaga amanah serta bercakap benar. Suasana keberkatan bulan Ramadan dapat membantu kita dalam usaha mengukuhkan ketakwaan, rasa takut serta perasaan kasih kita kepada ALLAH SWT.

Sekiranya kita tidak memanfaatkan keberkatan bulan Ramadan untuk meningkatkan nilai integriti dalam diri sewaktu syaitan sedang dibelenggu, kerugian akan kita alami. Besar kemungkinan 11 bulan selepas Ramadan akan menjadi lebih mencabar lagi.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Yayasan Ikram Malaysia


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!