Bulan Ramadan pun buat maksiat

Pegawai penguat kuasa agama membuat serbuan hasil maklumat awam di sebuah kedai makan di Merbau Pulas pada Rabu.
Pegawai penguat kuasa agama membuat serbuan hasil maklumat awam di sebuah kedai makan di Merbau Pulas pada Rabu.
A
A
A

KULIM - Kesucian bulan Ramadan yang berbaki beberapa hari sahaja lagi sepatutnya digunakan sebaik mungkin untuk mempertingkatkan ibadat, namun lain pula yang berlaku di Merbau Pulas di sini.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, pihaknya menerima aduan awam mengatakan terdapat sepasang kekasih melakukan perbuatan terkutuk di sebuah kedai makan pada awal pagi Rabu.

Menurutnya, hasil serbuan di sebuah bilik di kedai makan berkenaan kira-kira jam 1.26 pagi mendapati, terdapat seorang lelaki berusia 42 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori dan seorang wanita yang juga pembantu kedai, berusia 47 tahun didapati berdua-duaan dalam premis tersebut.

"Pada awalnya pasangan yang saling mengenali sejak 2013 itu mengaku sudah bernikah di sempadan, bagaimanapun penipuan mereka dapat dihidu pasukan penguat kuasa agama.

"Kita telah membuat semakan rekod dan menemui maklumat mengatakan bahawa kedua-duanya sudah berkahwin dan mempunyai keluarga masing-masing," katanya.

Jelas Anwar, pasangan itu ditahan mengikut Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.

Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Kulim untuk tindakan lanjut.

Jika didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau maksimum dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.