KSU, ketua jabatan diingatkan laksana pusingan kerja, hantar laporan

Mohd Khairul Adib (berdiri, tengah) menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) Program Dual Ijazah Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Beijing Jiaotong Universitiy, China hari ini. - Foto Bernama
Mohd Khairul Adib (berdiri, tengah) menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) Program Dual Ijazah Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Beijing Jiaotong Universitiy, China hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua setiausaha (KSU) kementerian dan ketua jabatan diingatkan supaya menghantar laporan bilangan pegawai yang akan terlibat dengan pusingan kerja dalaman kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selewat-lewatnya akhir bulan ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, JPA sudah mengeluarkan surat yang memberikan tempoh sebulan kepada semua jabatan untuk melaksanakan pusingan kerja dalaman itu.

"Pegawai-pegawai yang berjawatan sensitif, kita minta mereka ini dilihat dan dipusingkan. Pusingan memang bukan satu yang baharu, tapi kadang-kadang mereka (ketua jabatan) lupa.

"Kita cuma ingatkan kembali dan minta KSU serta ketua-ketua jabatan bagi laporan kepada JPA dan kita minta 50 peratus pegawai dipusingkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Beijing Jiatong University (BJTU), China di sini pada Rabu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali sebelum ini telah mengarahkan JPA untuk melaksanakan pusingan kerja membabitkan pegawai di jawatan sensitif susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengenai sindiket kartel projek yang memonopoli tender kerajaan sejak 2014 dengan nilai projek dianggarkan mencecah RM3.8 bilion.

Mengenai majlis pemeteraian MoA antara UMP dan BJTU, ia bertujuan menjalin kerjasama dalam penawaran Program Dual Ijazah dalam bidang kejuruteraan rel.

MoA itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMP Profesor Ir Dr Wan Azhar dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMP Profesor Dr Mohd Rosli Hainin yang mewakili UMP, dengan BJTU diwakili Presidennya Prof Dr Wang Jiaqiong dan Timbalan Presiden (Antarabangsa) Prof Dr Guan Zhongliang, hadir di majlis berkenaan secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Wan Azhar dalam sidang media berkata kerjasama dengan BJTU membabitkan kursus pengajian Kejuruteraan Awam, Mekanikal dan Elektrikal selama empat tahun iaitu masing-masing dua tahun di UMP dan BJTU, termasuk melengkapkan latihan industri di China.

Menurutnya 60 pelajar UMP akan dipilih menyertai Program Dual Ijazah itu bagi tiap semester dan dijangkakan dalam tempoh lima tahun, 300 lulusan dalam bidang kejuruteraan rel dapat dihasilkan.

"Selepas tamat pengajian, profil graduan ini sepatutnya mempunyai pengetahuan dalam bidang industri rel dan berkebolehan berkomunikasi serta menguasai Bahasa Mandarin," katanya. - Bernama