Semua yayasan, badan amal disaran hantar laporan kepada penderma

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Setiap yayasan dan badan amal disaran untuk menghantar laporan lengkap kepada penderma bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan derma.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu akan dimulakan dengan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam masa terdekat.

"Siapa yang derma akan mendapat laporan daripada badan pengurusan mengenai kegunaan wang tersebut," katanya dalam ucapan Majlis Pelancaran Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP di sini pada Khamis.

Turut hadir, isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengarah Eksekutif YWP, Abdul Rahman Siraj.

Anwar berkata, prosedur tersebut memberi keyakinan orang ramai terhadap sesebuah institusi amal.

"Begitu juga Majlis Agama Islam Wilayah berkenaan wang zakat kerana amalan ini tidak ada.

"Dari wang zakat yang diberikan (kena tunjukkan) dan ini yang dibelanjakan dan ini akaunnya, auditnya, barulah beri keyakinan," katanya.

Anwar yang juga Pengerusi YWP berkata, setiap yayasan dan badan amal bertanggungjawab untuk menyampaikan amanah penderma kepada mereka yang memerlukan.

"80 peratus peruntukan mestilah disampaikan kepada khalayak manakala pengurusan tidak boleh melebihi 20 peratus," ujar beliau.

Beliau berkata, yayasan ditubuhkan adalah bertujuan murni, namun terdapat kelemahan yang harus diperbaiki.

"Jawatankuasa pengurusan juga harus mengambil kepakaran luar dan menimba pengalaman dari profesional lain kerana ramai yang bersedia memberi sumbangan idea kepada yayasan sekali gus mampu memberi pulangan lebih baik," katanya lagi.