Larangan rentas negeri kekal, SOP Aidilfitri masih diperhalusi

Pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
Pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Larangan rentas negeri masih kekal selaras dengan status baharu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat, Pemulihan dan Diperketatkan bagi negeri-negeri terlibat yang berkuat kuasa 29 April sehingga 17 Mei depan.

Pengumuman itu bermakna sebarang pergerakan pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada 13 Mei juga dipercayai adalah tidak dibenarkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) bagi sambutan Aidilfitri masih diperhalusi oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"SOP bagi sambutan perayaan Aidilfitri akan diumumkan dalam waktu terdekat, " katanya ketika sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Selasa.

Jelas beliau, bagi status baharu PKP, mesyuarat penilaian risiko oleh KKM telah membuat keputusan bahawa kesemua 10 daerah di Kelantan akan terus kekal dengan status PKP kerana menunjukkan kadar insiden yang semakin meningkat.

Sementara itu lima negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak dikekalkan status PKP Bersyarat (PKPB).

"Oleh kerana zon hijau semakin berkurangan dan zon merah meningkat serta 33 lokaliti sedang dilaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD), maka status negeri Sabah bertukar daripada PKP Pemulihan (PKPP) kepada PKPB.

"Manakala sembilan negeri iaitu Perlis, Kedah, Melaka, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dikekalkan status PKPP," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sebagaimana SOP terdahulu, pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi aktiviti pelancongan dari negeri PKPP ke negeri PKPP melalui konsep 'green travel bubble' menggunakan syarikat dan agen pelancongan yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC).

"Pergerakan rentas daerah dibenarkan kecuali Sabah dan Sarawak atas keputusan kerajaan negeri," katanya.