Gagal seludup haiwan eksotik, 92 kura-kura dari Thailand

Kura-kura spesis sulcata dan ular antara haiwan eksotik yang dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 di Kampung Kebun, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Ahad.
Kura-kura spesis sulcata dan ular antara haiwan eksotik yang dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 di Kampung Kebun, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Ahad.
A
A
A

TUMPAT - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 menahan seorang lelaki yang dipercayai menyeludup masuk pelbagai haiwan eksotik bernilai RM61,800 antaranya 92 ekor kura-kura di Kampung Kebun, Pengkalan Kubor di sini pada Ahad.

Suspek berusia 33 tahun itu ditahan pasukan PGA Batalion 8 dalam Op Benteng pada jam 2.03 pagi.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, turut ditemui dua ular, tiga tupai dan dua cicak yang dibawa dalam sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback.

Kata beliau, sepasukan PGA Batalion 8 dalam rondaan berkereta telah ternampak seorang lelaki yang mencurigakan berada dalam kereta berwarna hitam di kawasan Kampung Kebun, Pengkalan Kubor.

“Anggota menahan suspek dan pemeriksaan di dalam but kereta yang dipandunya menemukan pelbagai jenis haiwan eksotik dipercayai diseludup dari negara Thailand.

“Haiwan-haiwan tersebut ialah, 80 ekor kura-kura spesis sulcata dianggarkan bernilai RM44,000, 12 ekor kura-kura indian star (RM12,000), dua ekor ular (RM1,600) dan tiga ekor tupai red giant flying serta dua ekor cicak black dragon bernilai RM2,400,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, suspek gagal mengemukakan sebarang jenis dokumen atau permit berhubung pemilikan atau kebenaran membawa haiwan-haiwan bernilai RM61,800 tersebut di dalam kenderaan itu.

“Suspek ditangkap dan kesemua barangan kes termasuk kereta bernilai RM4,000 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk tindakan laporan polis.

Artikel Berkaitan:

“Tangkapan dan rampasan dijalankan mengikut Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” katanya.

Ujar beliau, rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Perhilitan Kelantan untuk tindakan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati haiwan ini diseludup dari negara Thailand bagi pasaran di negara Malaysia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 60 (1)(a) Akta Perhilitan 1972 dan Seksyen 68 (1)(a) Akta Perhilitan 1972,” katanya.