Sindiket perjudian kaut untung RM10,000 sehari tumpas

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan.
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur percaya sindiket perjudian dalam talian tumpas selepas melakukan serbuan di sebuah unit kondominium di Jalan Jalil Perwira 2, Bukit Jalil pada Jumaat.

Premis itu dipercayai beroperasi sebagai pusat 'call centre' sejak tiga bulan lalu dengan bayaran sewa sebanyak RM4,000 sebulan manakala pekerja menerima upah di antara RM 2,000 hingga RM2,500 sebulan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komissioner Saiful Annuar Yusoff berkata, ketika serbuan kira-kira jam 1.20 petang itu, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur 18 hingga 24 tahun.

Beliau berkata, pelbagai barangan turut dirampas termasuk tujuh telefon bimbit, lapan buah monitor, empat set komputer, serta seunit modem membabitkan anggaran nilai keseluruhan RM30,000.

"Sindiket ini dipercayai mempromosikan perjudian atas talian bagi pasaran tempatan dan meraih keuntungan harian sebanyak RM10,000," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Kesemua mereka akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Serbuan dilakukan sepasukan polis dari bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontijen(IPK) Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Saiful Annuar menasihatkan orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan kegiatan perjudian kerana tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemain atau pelanggan.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999," katanya.