Malaysia perlu ramai wanita seperti Dr Adeeba

No Image Caption
A
A
A

KELMARIN, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pakar penyakit berjangkit negara, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman atas pelantikan menjadi anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pelantikan Dr Adeeba bukan sahaja pengiktirafan kepada beliau sebagai individu yang berprestasi tinggi, malah menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa.

Berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perubatan, Dr Adeeba juga memegang jawatan Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia dan Ahli Eksekutif Majlis AIDS Malaysia.

Beliau aktif di barisan hadapan dengan menjadi orang penting dan penggerak kempen kesedaran penyakit HIV dan AIDS, selain mengasaskan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS yang menjalankan kajian pelbagai disiplin tentang HIV dari segi klinikal, kesihatan awam dan dasar berkaitan.

Selain Dr Adeeba, Malaysia memiliki ramai wanita hebat terdiri daripada selebriti, tokoh politik mahupun ahli perniagaan. Antaranya ialah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Dr Nur Amalina Che Bakri dan Datuk Nicol Ann David. Mereka dikenali umum lantaran keperibadian dan kejayaan yang dicipta sehingga dijadikan inspirasi.

Namun, tugas memperkasa wanita perlu diperkemaskan kerana wanita masih terbelenggu dengan stigma dan stereotaip yang mengehadkan peranan mereka dalam bidang tertentu.

Malah, wanita cenderung menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan gangguan seksual di tempat kerja serta terlibat dalam gejala sosial seperti penderaan anak, sugar daddy dan sumbang mahram.

Justeru, penyertaan wanita dalam peringkat pembuat keputusan perlulah ditingkatkan, bukan bersifat ‘penyeri halaman’ tetapi pandangan, kepakaran serta ketelitian mereka adalah aset kepada organisasi sama ada kerajaan mahupun swasta. Buat golongan wanita, ambillah semangat Dr Adeeba yang mengangkat martabat wanita agar berada dalam kelasnya tersendiri. Beliau telah membuktikan tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia.

Artikel Berkaitan: