X

Kindly register in order to view this article
!

SIC tidak berhasrat hukum komuniti perlumbaan drag

Azhan Shafriman ketika ditemu bual Bernama di SIC pada Khamis. - Foto Bernama
A
A

PIHAK Litar Antarbangsa Sepang (SIC) tidak berhasrat untuk menghukum komuniti perlumbaan drag secara keseluruhan susulan insiden kekecohan dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika berlangsung acara ‘MUSC SIC Sepang Drag Cars Test & Tune 2021’ baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, komuniti perlumbaan drag adalah sebahagian daripada keluarga sukan permotoran, yang perlu dididik mengenai pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak daripada melakukan kesalahan yang sama di masa hadapan.

“Jadi kita sedang bekerjasama denga penganjur bagi meningkatkan kesedaran komuniti perlumbaan drag, apa yang perlu dilakukan pada dasarnya adalah membanyakkan sesi libat urus dengan mereka, supaya mereka faham mengenai penguatkuasaan semua SOP yang dikenakan bagi menjaga keselamatan semua.

“SOP itu sama seperti umpamanya kita ke masjid, atau pusat beli belah, tidak banyak beza, perlu memakai pelitup muka, jaga penjarakan sosial dan sebagainya. Saya yakin komuniti drag akan menerima perkara ini sebagai satu penambahbaikan yang sedang kita rancang untuk dilaksanakan di masa hadapan,” katanya kepada Bernama.

Dalam kejadian 9 April lepas, kegagalan MUSC Motorsports memastikan peserta kejohanan mematuhi SOP menimbulkan kekecohan sehingga pihak penganjur terpaksa menghentikan perlumbaan beberapa kali, sebelum polis dipanggil untuk mengawal keadaan, dan penganjur kemudiannya dikenakan kompaun RM20,000.

Minggu lepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengarahkan SIC menangguhkan sebarang kejohanan drag buat sementara waktu, susulan insiden itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur sukan permotoran dikompaun RM20,000 gagal patuhi SOP

SIC diarah tangguh semua kejohanan drag

Bagi mengelak insiden sama berulang, Azhan berkata, SIC sebagai penyedia venue akan bekerjasama rapat dengan penganjur acara di masa hadapan bagi memastikan semua SOP dipatuhi sepanjang masa bagi mengekang penularan Covid-19.

“Kita tidak mahu perkara sebegini menjejaskan acara-acara sukan permotoran yang lain, jadi pengajaran di sini adalah pihak penguatkuasaan perlu bersiap sedia bagi mengelak keadaan sedemikian berulang,” katanya dan menambah kawasan SIC cukup lapang, untuk kemudahan jumlah kehadiran pengunjung yang tinggi sekiranya semua pihak mematuhi SOP.

Sementara itu, Azhan berkata, selepas perolehan hasil yang terjejas akibat kemunculan pandemik pada tahun 2020, SIC menjangka sinar penyelesaian sudah dapat dilihat pada tahun ini, apabila litar telah ditempah hampir setiap minggu sehingga hujung tahun, namun beliau berharap pandemik tidak akan merosakkan semua rancangan.

Sekurang-kurangnya tiga pusingan lagi kejohanan Malaysian Cub Prix, kejohanan Asia Road Racing Championship (ARRC) dijadualkan pada bulan Jun, di samping acara bukan sukan permotoran seperti berbasikal dan larian dirancang di litar itu, bergantung kepada kelulusan.

Menariknya juga, litar itu turut dibuka untuk pelbagai sesi bukan perlumbaan seperti rakaman pra-perkahwinan atau majlis perkahwinan, mahupun lain-lain acara yang dirasakan sesuai. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!