SIC diarah tangguh semua kejohanan drag

Penganjur MUSC SIC Sepang Drag Cars Test & Tune 2021 dikenakan kompaun RM20,000 susulan pelanggaran SOP dalam kalangan pengunjung pada Jumaat.
Penganjur MUSC SIC Sepang Drag Cars Test & Tune 2021 dikenakan kompaun RM20,000 susulan pelanggaran SOP dalam kalangan pengunjung pada Jumaat.
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengarahkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk menangguhkan sebarang kejohanan drag buat sementara susulan insiden kekecohan dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika ‘MUSC SIC Sepang Drag Cars Test & Tune 2021’ pada Jumaat.

KBS menerusi kenyataan pada Selasa memaklumkan, penangguhan itu berkuat kuasa sehingga pihaknya berpuas hati dengan penilaian semula dan penambahbaikan ke atas protokol pengurusan venue di SIC.

Penganjur acara itu - MUSC Motorsports yang gagal memastikan pematuhan SOP penganjuran perlumbaan itu juga tidak dibenarkan untuk menganjurkan sebarang kejohanan drag di SIC dan mana-mana litar sehingga diberi kebenaran oleh KBS dan pihak berwajib.

Keputusan berkenaan diambil, selepas KBS mengadakan perjumpaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif, wakil MUSC Motorsports dan Persatuan Pemotoran Malaysia (MAM) berhubung insiden tersebut.

“KBS memandang serius berhubung insiden pelanggaran SOP Sukan dan Rekreasi yang ditetapkan ini, memandangkan KBS sedang mempergiatkan usaha untuk menghidupkan semula industri sukan yang terjejas teruk, berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Sehubungan itu, KBS berharap agar semua penggiat dan peminat sukan dapat memberi kerjasama dan menjalankan tanggungjawab masing-masing, dengan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

KBS bagaimanapun menjelaskan bahawa aktiviti sukan permotoran lain di SIC dibenarkan, tertakluk kepada kebenaran KBS dan pihak berwajib serta pematuhan ke atas SOP sepenuhnya.

Media sebelum ini melaporkan penganjur acara berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 selepas gagal mengawal peserta, melaksanakan penjarakan fizikal dan memastikan pengunjung program mematuhi SOP dalam membendung pandemik Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: