'Di mana fungsi Parlimen selepas kerajaan lulus guna dana KWAN?'

Mohamed Hanipa Maidin - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Mohamed Hanipa Maidin - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mempersoalkan fungsi Parlimen selepas kerajaan meluluskan undang-undang membenarkan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) digunakan untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Mohamed Hanipa turut menyoal Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, adakah tidak merasa bersalah atau berdosa membiarkan wang rakyat dalam KWAN digunakan sewenang-wenangnya tanpa terlebih dahulu tertakluk kepada proses semak imbang di Parlimen.

"Dilaporkan bahawa setakat hujung tahun 2017, nilai harta di KWAN yang diuruskan oleh Bank Negara berjumlah RM16.9 bilion.

"Adakah nilai harta selumayan itu begitu mudah boleh diluluskan tanpa perlu melalui sebuah proses semak imbang di Parlimen?" katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Mohamed Hanipa berkata, rakyat juga berhak mahukan ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya supaya berbahas di Parlimen bagi melindungi keselamatan wang KWAN.

Kerajaan pada Rabu meluluskan undang-undang untuk menggunakan dana KWAN untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Ini dilakukan melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara ) (Pindaan) 2021.

Menurut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan pinda akta benarkan dana KWAN untuk perolehan vaksin