PH Perak perlu fokus

Mohd Azlan menyambut ketibaan Boon Chye ke majlis tersebut.
A
A

IPOH - Semua pihak dalam PH perlu memberi fokus terhadap kerja-kerja pentadbiran kerajaan daripada melayan desas-desus politik yang ditimbulkan pihak tertentu.

Setiausaha PKR Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, sebagai parti pemerintah, usaha untuk meyakinkan rakyat, PH pilihan terbaik untuk menyelesaikan masalah mereka perlu diteruskan.

Menurutnya, rakyat mempunyai harapan besar untuk melihat perpaduan dalam kalangan pemimpin PKR dan PH terus diperkukuhkan.

"Mengambil semangat Tahun Baharu Cina ini dengan kehadiran rakyat berbilang kaum memberi satu kekuatan untuk kita bersama-sama menyatukan ahli dan pemimpin parti bagi mengukuhkan PH.

"Semua ahli parti dan pemimpin perlu bersatu hati di bawah pimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 PKR Negeri Perak di Dewan Chin Woo, di sini.

Mohd Azlan (tiga, kanan) bersama pimpinan PKR dan PH negeri pada majlis tersebut.
Mohd Azlan (tiga, kanan) bersama pimpinan PKR dan PH negeri pada majlis tersebut.

Hadir sama pada majlis itu, Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang; Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Pusat, Dr Lee Boon Chye; Naib Pengerusi PKR Perak, Tan Kar Hing dan Baldip Singh serta beberapa pimpinan rakan parti PH.

Sementara itu, Mohd Azlan berkata, permuafakatan dalam kalangan ahli dan pemimpin parti di Perak sangat kuat.

"PKR Perak kini sedang rancak mengumpulkan ahli baharu untuk mengukuhkan lagi parti.

"Keahlian baharu yang berdaftar kini sangat rancak dibuat malah bulan lalu Perak negeri kedua yang mempunyai keahlian terbaru paling ramai berbanding negeri-negeri ini," katanya.

Mohd Azlan berharap agar semua ketua-ketua Cabang terus menggerakkan usaha menambah keahlian sepertimana yang dihasratkan pengerusi negeri.