X

Kindly register in order to view this article
!

12 barang kawalan sempena Aidilfitri

Alexander (kanan) mengumumkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan 2021 di KPDNHEP hari ini. Turut sama Timbalan Menterinya ialah Datuk Rosol Wahid (kanan). - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenal pasti sebanyak 12 jenis barangan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

"Ini adalah senarai awal yang dikeluarkan oleh kementerian bagi barangan kritikal yang mengalami kenaikan harga pada kebelakangan ini," katanya ketika sidang akhbar di kementeriannya di sini pada Isnin.

Nanta berkata, pihaknya akan mengeluarkan pertambahan senarai harga barangan terkawal menjelang Aidilfitri.

"Kita mungkin akan menyenaraikan 20 barangan SHMMP demi kepentingan pengguna," katanya.

Beliau berkata, 12 barangan SHMMP itu membabitkan ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging lembu import, telur ayam gred A, B dan C, ikan kembung termasuk ikan mabung, ikan selayang dan ikan tongkol.

"Walaupun perayaan disambut secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP), permintaan terhadap barangan semasa perayaan tetap ada dan dijangka meningkat berbanding semasa sebelum Ramadan dan menjelang Aidilfitri yang akan disambut pada 13 Mei depan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, SHMMP 2021 akan dikuatkuasakan bermula 21 April hingga 20 Mei depan.

"Skim ini akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.

Jelas beliau, harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang ditentukan adalah bersesuaian dengan kos semasa dan trend harga semasa.

"Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa. Ia mengambil kira faktor perubahan harga khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak," katanya.

Menurutnya, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit pula berdasarkan kepada maklumat harga pemantauan di semua daerah seluruh negara.

"Ia berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh KPDNHEP mengambil kira pandangan pelbagai agensi berkaitan iaitu Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA)," katanya.

Tambah beliau, KPDNHEP turut mengadakan libat urus bersama pemain industri dari pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan tersebut.

"Peniaga yang menaikkan harga tanpa alasan munasabah dengan niat membuat keuntungan tinggi berlebihan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!