Johor mahu reformasi sektor perumahan

 Osman Sapian
Osman Sapian
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri Johor akan mereformasikan sektor perumahan dalam usaha memastikan rakyat Johor memiliki kediaman selesa yang kini dilihat sebagai keperluan.

Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, antara strategi dicadangkan adalah mencapai sasaran penyediaan 100,000 unit rumah mampu biaya menjelang 2023.

Menurutnya, sehingga Oktober lalu, sebanyak 3,714 unit rumah mampu biaya telah siap dibina.

“Bagi tahun 2019 hingga 2020, sebanyak 12,320 unit rumah mampu biaya akan siap dibina. Manakala bagi tahun 2021 hingga 2023 sebanyak 7,608 unit akan siap dibina.

“Jumlah keseluruhan yang akan siap dibina adalah sebanyak 23,643 unit,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2019 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Osman berkata, kerajaan sedar atas kekurangan perumahan mampu biaya yang disasarkan, namun telah menggariskan empat strategi bagi mengatasi perkara tersebut.

Katanya, bagi strategi pertama iaitu pengambilan tanah bagi pembinaan rumah mampu biaya, kerajaan memperuntukkan RM87 juta untuk mengambil balik tanah.

“Strategi kedua, pembangunan rumah mampu biaya oleh pemaju swasta. Dengan kerjasama ini pihak pemaju swasta, setiap pembangunan yang akan dibina oleh pihak pemaju perlulah menyediakan komponen perumahan mampu biaya sebanyak 40 peratus.

“Strategi ketiga, usahasama kerajaan negeri dan persekutuan serta pelaksanaan projek penswastaan. Kerajaan negeri menyambut baik kerjasama dengan kerajaan persekutuan bagi memenuhi impian rakyat memiliki kediaman selesa pada harga berpatutan,” katanya.

Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, bagi strategi keempat, pelaksanaan projek penswastaan di mana kerajaan negeri akan bekerjasama dengan syarikat GLC serta pemaju swasta bagi menampung permintaan rumah mampu biaya di seluruh Johor.