Pemberian buku teks DLP dipercepatkan

Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik (depan, tengah) bergambar bersama pengunjung yang hadir di Program Jamuan Makan Sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Kampung Baru Simpang Renggam, Kluang, hari ini. - Foto Bernama
Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik (depan, tengah) bergambar bersama pengunjung yang hadir di Program Jamuan Makan Sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Kampung Baru Simpang Renggam, Kluang, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Pemberian buku teks bagi Program Dua Bahasa (DLP) untuk mata pelajaran Matematik dan Sains kepada pelajar tingkatan tiga telah dipercepatkan dengan edarannya sudah pun dimulakan pada 10 Februari lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata jika mengikut perancangan awal, buku teks itu sepatutnya dibekalkan pada awal Mac memandangkan tidak dapat disediakan pada sesi awal persekolahan berikutan terdapat perubahan dalam menambah baik sistem perolehan.

Bagaimanapun, berikutan pengedarannya telah mula dilakukan maka semua sekolah termasuk di Sabah dan Sarawak dijangkakan mempunyai buku itu, menjelang hujung bulan ini.

“Bermakna pelaksanaan untuk menggunakan buku ini adalah bermula pada awal Mac,” kata beliau dalam sidang media selepas merasmikan program Majlis Jamuan Makan Sempena Tahun Baharu Cina Parlimen Simpang Renggam di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Baru Simpang Renggam hari ini.

Katanya, sebelum ini pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menawarkan DLP telah dibekalkan dengan cakera padat yang mengandungi empat bab awal buku teks subjek berkenaan.

“Ia disediakan bagi membolehkan guru dan murid mengakses dan memuat turun bahan pembelajaran berkaitan DLP sehingga buku teks berkenaan dapat dibekalkan,” katanya.

Berhubung isu lain, Maszlee berkata, pihaknya mahu universiti-universiti awam (UA) lain mewujudkan Sistem Pengeluaran dan Pengesahan Universiti atau e-Scroll, seperti yang dilakukan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Katanya, e-Scroll yang menggunakan teknologi Blockchain, boleh menjadi alternatif dan penyelesaian dalam menangani isu ijazah palsu kerana dilengkapi kod respons pantas (kod QR) selain boleh disemak menggunakan telefon pintar.

Artikel Berkaitan:

"Sistem ini baru mula digunakan di UIAM pada tahun lalu, di mana pada masa akan datang, ia diharap akan diguna pakai beberapa lagi UA supaya kualiti pendidikan tinggi di negara ini dapat dipelihara,” katanya. - Bernama