Bekas pelajar antara tiga ditahan pecah masuk sekolah swasta

Tiga lelaki warga asing ditahan dipercayai terlibat kes pecah masuk sekolah swasta di Taman Ampang Utama. (Gambar hiasan)
Tiga lelaki warga asing ditahan dipercayai terlibat kes pecah masuk sekolah swasta di Taman Ampang Utama. (Gambar hiasan)
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki yang merupakan bekas pelajar sekolah swasta di Taman Ampang Utama, dekat sini bersama dua individu lain ditahan kerana dipercayai memecah masuk bangunan sekolah berkenaan pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu yang merupakan pengusaha sekolah swasta menyatakan tingkap bilik pejabat berada dalam keadaan tidak berkunci dan terdapat kesan umpil.

Ekoran kejadian yang disedari sekitar jam 11 pagi itu, katanya, pengadu berusia 39 tahun membuat pemeriksaan dan mendapati sebuah decoder jenama H96 Max di pejabat pengadu telah hilang.

Selain itu tambahnya, sebanyak 13 buah komputer riba pelbagai jenis di makmal komputer di tingkat satu juga hilang dan disyaki telah dicuri.

Menurutnya, anggaran kerugian akibat perbuatan pecah masuk itu adalah RM8,000.

"Antara jam 3.50 petang hingga 8.40 malam semalam, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menangkap tiga lelaki warganegara asing berumur 19 hingga 20 tahun.

"Suspek pertama merupakan bekas pelajar sekolah tersebut, manakala dua lagi suspek bukan pelajar sekolah berkenaan.

"Ketiga-tiga suspek yang ditahan di Jalan Ampang Kiri, Taman Ampang Utama dan Jalan Putra Sulaiman Ampang, dekat sini adalah pelajar dan bekerja sebagai juruwang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohamad Farouk berkata, antara yang dirampas pihak polis adalah sebuah beg berwarna hijau, empat komputer riba jenama HP, empat komputer riba jenama Acer, sebuah telefon bimbit jenis Iphone Xr serta sebuah telefon bimbit jenis Redmi Note 9.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek adalah negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

Tambahnya, permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan di Mahkamah Ampang pada Rabu.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

"Jika disabit kesalahan, mereka boleh dipenjara selama lima tahun dan dikenakan didenda.

"Jika kesalahan mencuri kali kedua, mereka boleh dipenjara sehingga 14 tahun atau didenda atau disebat," katanya.