X

Kindly register in order to view this article
!

Super kartel rokok seludup didalangi agensi penguatkuasaan

Malaysia pada masa ini adalah nombor satu di dunia untuk perdagangan rokok seludup di mana enam daripada 10 rokok yang dijual di pasaran adalah produk haram. (Gambar kecil: Akhbar Satar)
A
A

KUALA LUMPUR - Isu perdagangan rokok seludup yang menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit setiap tahun tidak akan selesai kerana kartel rokok seludup didalangi pegawai dalam agensi penguatkuasaan yang menjaga sempadan negara.

Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) Cawangan Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, beberapa siri laporan yang mendakwa kartel dalam kalangan pelbagai agensi penguatkuasaan Malaysia telah pun didedahkan sebelum ini.

Pemegang kursi profesor di Institut Jenayah dan Kriminologi HELP University itu mendakwa, kartel-kartel tersebut membantu pelbagai aktiviti jenayah daripada pengubahan wang haram sehinggalah kepada manipulasi tender projek.

"Pendedahan mengenai kewujudan kartel beroperasi di dalam agensi penguatkuasaan undang-undang kita sepatutnya menyedarkan kita semua daripada lena. Ia jelas menunjukkan betapa mendalam dan teruknya penyusupan penjenayah ke dalam institusi awam yang sepatutnya menegakkan undang-undang dan keamanan,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Akhbar, apa yang diketahui orang ramai hanyalah sekelumit daripada permasalahan yang sebenar.

“Kartel-kartel yang dibongkar itu secara relatifnya 'ikan kecil’ berbanding kartel rokok seludup yang beroperasi di Malaysia. Bertahun-tahun lamanya kartel rokok seludup menjadi semakin berani dan telah mencipta modus operandi baharu untuk merasuah pegawai penguatkuasaan yang tiada etika bagi melindungi jejak mereka,” ujarnya.

“Sementara tidak semua pegawai penguatkuasaan boleh dibeli, kartel rokok seludup ini bersedia untuk melakukan apa sahaja, termasuk menggunakan ugutan bagi mempengaruhi sesiapa sahaja untuk tunduk kepada kemahuan mereka," katanya.

Tegasnya, Malaysia pada masa ini adalah nombor satu di dunia untuk perdagangan rokok seludup di mana enam daripada 10 rokok yang dijual di pasaran adalah produk haram.

"Negara kita kerugian lebih daripada RM5 bilion setahun dari segi hasil cukai yang hilang akibat penyeludupan rokok ini. Bayangkan jumlah keuntungan yang dijana oleh keseluruhan ekosistem rokok seludup di negara ini,” ujar beliau.

Akhbar berkata, hasil daripada perdagangan haram ini diraih oleh kartel-kartel ini adalah lebih daripada cukup untuk melahirkan pula`super kartel’ yang membabitkan kebanyakan, jika tidak semua agensi penguatkuasaan.

"Mereka tidak ada masalah untuk melantik peguam mewakili mereka di mahkamah dan membayar denda jika mereka ditangkap menyeludup kontraban," katanya.

Menurutnya, super kartel ini diperlukan kerana kartel dagangan rokok seludup di Malaysia membabikan rantaian nilai yang sangat sofistikated, berskala besar dan mendalam yang merangkumi pengilangan antarabangsa, import, pengangkutan, gudang simpanan, pengedaran, peruncitan, malah eksport.

Dari segi penyelesaian untuk menangani super kartel rokok seludup, Akhbar mencadangkan supaya dimulakan dengan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) semua agensi penguatkuasaan.

"Sistem penggiliran kakitangan yang berkesan seharusnya wujud di kawasan rasuah tinggi seperti pelabuhan, lapangan terbang dan sempadan darat. Adalah penting untuk memastikan bahawa individu yang ditugaskan memikul tugas khusus itu adalah benar-benar jujur bagi menguatkuasakan undang-undang.

"Mereka seharusnya dipantau secara berterusan," tegasnya.

Selain itu, katanya, kajian semula secara mendalam ke atas rantaian pembekalan termasuk tetapi tidak terhad kepada perkapalan, ejen 'forwarding', ejen kastam, pengimport hendaklah dilakukan bagi memastikan titik kelemahan dapat diperketatkan dan menghalang peluang untuk salah guna.

Malah, katanya, program pendidikan bagi mewujudkan kesedaran dan mengingatkan semua lapisan rakyat mengenai masalah rasuah hendaklah dilaksanakan.

"Kerajaan juga seharusnya melihat kepada kaedah menambah baik kemudahan dengan teknologi canggih seperti pengimbas paling terkini dan CCTV di tempat keluar masuk yang disyaki. Persekitaran kerja yang baik, akan menambah baik produktiviti,” ujarnya.

Bekas Presiden Transparency International Malaysia itu berkata, turut sama penting bagi menangani permasalahan akar umbi yang menyemarakkan perluasan rokok seludup di Malaysia daripada perspektif polisi.

“Polisi-polisi yang memperkasa agensi penguatkuasaan kita, menggalakkan pegawai melaksanakan tugas mereka dengan bermaruah dan tanpa takut dan menghalang petualang daripada perspektif risiko keuntungan hendaklah dipertimbangkan bagi melawan super kartel ini.

"Malaysia tidak mampu kehilangan satu sen lagi kerana kita memerlukan duit untuk memulihkan negara daripada situasi ekonomi semasa," katanya.

Lagi pun, katanya, dengan sekadar persepsi wujud super kartel beroperasi di negara kita, akan mengurangkan hasrat negara luar dan syarikat asing untuk berdagang dengan Malaysia.

Pada Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengumumkan bahawa polis telah membongkar rangkaian penipuan berbilion ringgit diketuai Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dengan penahanan 68 orang yang disyaki, termasuk dua bergelar Datuk Seri dan enam Datuk.

Abdul Hamid berkata, seramai 34 pegawai dari agensi penguatkuasaan seperti polis disyaki berkomplot dengan sindiket tersebut.

Pada awal bulan pula, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mematahkan kartel tender projek dengan penahanan tujuh individu termasuk ketua kumpulan yang didakwa memonopoli lebih 354 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara, bernilai RM3.8 bilion.

-end-


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!