MBI siasat dakwaan peniaga ais tanpa lesen di Pasar Besar Ipoh

Rumaizi Baharin
Rumaizi Baharin
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menjalankan siasatan terhadap aduan wujud peniaga ais tanpa lesen yang turut melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Pasar Besar Ipoh di sini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, siasatan terbabit dijalankan bersama beberapa agensi penguat kuasa jabatan lain agar tindakan lanjut dapat dikenakan.

Menurutnya, aduan berhubung perkara itu diterima MBI beberapa hari lalu termasuklah menerusi laman sosial Facebook.

"Ya kita ada terima aduan berkaitan kegiatan itu dan dengan kerjasama beberapa agensi, siasatan telah pun dijalankan secara bersama untuk diambil tindakan.

"Setakat ini, notis (kesalahan) telah dikeluarkan di situ dan saya perlu tunggu laporan akhir siasatan dahulu sebelum membuat apa-apa kesimpulan kerana ia bukan hanya melibatkan MBI sahaja, tetapi agensi lain juga," katanya.

Rumaizi melakukan pembayaran menerusi eWallet ketika lawatan ke tapak Bazar Ramadan Stadium di Ipoh pada Selasa.
Rumaizi melakukan pembayaran menerusi eWallet ketika lawatan ke tapak Bazar Ramadan Stadium di Ipoh pada Selasa.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran eWallet Maybank Bazar Ramadan MBI di Bazar Ramadan Stadium di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Serantau Maybank Perak, Datin Munirah Che Rose.

Artikel Berkaitan:

Aduan itu dikongsi di laman Facebook Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia mendedahkan wujudnya peniaga ais haram di pasar berkenaan sejak tujuh tahun lalu.

Selain beroperasi tanpa lesen, peniaga itu juga didakwa menggunakan khidmat pekerja asing tanpa permit.

Dalam perkembangan lain, Rumaizi berkata, pelaksanaan sistem bayaran tanpa tunai menerusi aplikasi eWallet akan diperluas ke semua medan selera dan pasar-pasar.

Katanya, ia berdasarkan respon positif yang diterima daripada kalangan peniaga kerana ia bukan sahaja mempercepatkan transaksi, malah mengurangkan risiko penipuan disebabkan oleh rekod perbelanjaan dapat dijejak dengan mudah serta membolehkan kawalan perbelanjaan.

Rumaizi melakukan serahan mangkuk tingkat kepada pengunjung yang datang ke Bazar Ramadan Stadium di Ipoh pada Selasa.
Rumaizi melakukan serahan mangkuk tingkat kepada pengunjung yang datang ke Bazar Ramadan Stadium di Ipoh pada Selasa.

"E-wallet di bazar Ramadan adalah projek perintis MBI dengan kerjasama Maybank Berhad.

"Buat permulaan kita jalankan di sini sebelum perluaskan ke aset milik MBI seperti medan selera serta pasar dan dalam hal ini, kita sedia membuka kerjasama dengan rangkaian bank-bank yang lain juga," katanya.