[VIDEO] Peniaga didenda RM120,000 jual diesel tanpa lesen

SUNGAI PETANI - Seorang peniaga dikenakan hukuman denda RM120,000 di mahkamah seksyen di sini setelah mengaku salah menjalankan perniagaan diesel tanpa kebenaran di Sungai Lalang di sini bulan lalu.
Lim Soon Ping, 41, dari Bedong, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Roslan Hamid sebaik sahaja pertuduhan dibacakan dalam loghat Hokkien.
Mahkamah mengarahkan tertuduh dihukum penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda selain hasil jualan diesel yang dirampas bernilai RM60,200 dan dua buah lori diserah dan dilucut hak kepada kerajaan.
Sebelum itu, tertuduh mengaku salah bahawa dalam kawalannya terdapat barang kawalan sebanyak 28,000 liter minyak diesel dalam dua buah lori tangki.