Operasi bazar Ramadan, Aidilfitri di Kedah tiada perubahan

Bazar Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini di Kedah beroperasi seperti biasa bermula pada Selasa. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman)
Bazar Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini di Kedah beroperasi seperti biasa bermula pada Selasa. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman)
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri membenarkan bazar Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini beroperasi seperti biasa bermula pada Selasa.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, bagaimanapun kebenaran operasi bazar berkenaan bergantung sepenuhnya kepada perkembangan bilangan kes harian Covid-19.

Dr Mohd Hayati berkata, setakat ini, keadaan di Kedah masih terkawal dengan hanya sekitar 40 kes jangkitan dicatatkan pada Ahad, maka operasi bazar dibenarkan beroperasi seperti biasa.

"Jika ikut pertambahan kes (positif Covid-19), Kedah dalam keadaan terkawal iaitu 40 kes sahaja.

"Namun, seandainya rakyat tidak mengawal jangkitan dan sekiranya kes bertambah, kemungkinan apa dilaksanakan di Kelantan dan Sarawak berlaku di Kedah," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kebenaran operasi bazar di negeri ini pada Isnin.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai memberitahu, pembatalan bazar Ramadan dan Aidilfitri di negeri berkenaan tidak berlaku Kedah.

Katanya, sehubungan itu, penduduk diharap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), malah pemantauan akan dilaksanakan.

Tambah beliau, penduduk di negeri ini diharapkan bukan hanya mengikuti SOP di bazar, malah mematuhi ketetapan di masjid dan surau di Kedah bagi mencegah penularan penyakit.

Artikel Berkaitan:

Dr Mohd Hayati berkata, pihaknya tidak meletakkan angka kes Covid-19 dan ia bergantung kepada keputusan KKM dan MKN, namun sedia akur sekiranya operasi bazar diarahkan batal apabila kes meningkat.

Dalam perkembangan sama, katanya,pihaknya menjangkakan peratusan sampah dari lebihan bahan makanan kemungkinan bertambah dari 15 hingga 20 peratus pada bulan Ramadan.

Dalam perkembangan lain, katanya, suntikan vaksin akan berjalan seperti biasa namun kemungkinan tempoh pemberian suntikan hanya sehingga petang pada bulan Ramadan ini.