Filem yang menggilap imej tentera

Filem Air Force The Movie - Selagi Bernyawa menonjolkan kehebatan TUDM terutama aset-aset seperti pesawat superioriti Sukhoi SU-30MKM, pesawat pengangkut Airbus A-400M dan helikopter EC725.
Filem Air Force The Movie - Selagi Bernyawa menonjolkan kehebatan TUDM terutama aset-aset seperti pesawat superioriti Sukhoi SU-30MKM, pesawat pengangkut Airbus A-400M dan helikopter EC725.
A
A
A

BELUM pun ditayangkan, filem Air Force The Movie - Selagi Bernyawa telah diperkatakan umum, selain menjadi tular kerana trailer filem aksi ketenteraan itu mula berlegar di laman sosial.

Prapelancaran telah diadakan di sebuah pawagam di ibu kota baru-baru ini yang dihadiri Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad dan pegawai-pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Melihat pada trailer filem tersebut, ia jelas menonjolkan kehebatan TUDM terutama aset-aset seperti pesawat superioriti Sukhoi SU-30MKM, pesawat pengangkut Airbus A-400M dan helikopter EC725.

Penonjolan aset-aset itu bukan sahaja menggilap imej TUDM sebagai angkatan udara moden, malah secara tidak langsung memberi keuntungan kepada firma pengeluar, misalnya Sukhoi SU-30MKM yang disifatkan sebagai pesawat penggempur moden terbaik dihasilkan Rusia.

Malah, pihak Rusia sendiri yakin dan percaya juruterbang TUDM telah mencapai penguasaan serta pengendalian yang baik sepanjang mengoperasikan Sukhoi SU-30MKM sejak 14 tahun lalu.

Turut dipaparkan adalah aksi melibatkan anggota komando Pasukan Khas Udara (Paskau). Filem yang penuh debaran dan menyentap emosi penonton itu boleh membawa harapan kejayaan filem berkonsepkan ketenteraan. Filem tersebut dijangka ditayangkan pada Ogos nanti sempena sambutan bulan kemerdekaan.

Jika percaturannya menjadi, tidak mustahil ia boleh mengulangi kejayaan filem Paskal The Movie tiga tahun lalu sehingga meraih kutipan sebanyak RM30 juta, selain mengangkat imej Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di mata rakyat Malaysia, khususnya kehebatan Pasukan Khas Laut.

Filem Paskal The Movie bukan sahaja menarik audiens pelbagai bangsa ke pawagam, malah ramai penonton tidak menyangka bahawa TLDM pernah terbabit dalam operasi skala besar memerangi pengganas yang merampas kapal dagang di perairan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Babak beberapa detik menunjukkan kapal selam Scorpene timbul dan menyelam di perairan negara pula telah menghakis pandangan sebilangan rakyat yang sebelumnya percaya aset ketenteraan negara itu tidak boleh menyelam, sedangkan penafiannya telah dibuat berkali-kali oleh kerajaan.

Dakyah

Mereka sebelumnya bermati-matian percaya dakyah pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja berniat memperkecil-kecilkan kemampuan pasukan tentera, selain giat melakukan penyebaran berita palsu bahawa perolehan kapal selam mencecah berbilion ringgit itu membazir. Bertambah teruk apabila ia menjadi modal politik yang tidak mendatangkan sumbangan apa-apa pada pembangunan pertahanan negara.

Pembikinan filem Air Force The Movie - Selagi Bernyawa mengimbas kembali penghasilan filem aksi pertama berkaitan TUDM iaitu Wira Angkasa, terbitan JD Production Sdn Bhd pada 1987.

Wira Angkasa menonjolkan kehebatan juruterbang TUDM era pesawat Northrop F-5E Tiger II yang pada masa itu merupakan jet pejuang dan pemintas digeruni, selain menjadi pesawat supersonik pertama dimiliki negara.

Filem tersebut pula sebenarnya membayangi filem Top Gun yang diterbitkan Hollywood setahun lebih awal sebelum pecah panggung dengan penampilan watak juruterbang jaguh, Maverick, lakonan Tom Cruise, Iceman (Val Kilmer) dan kehebatan pesawat tempur bersayap delta, Northrop Grumman F-14 Tomcat.

Impak filem Top Gun menyaksikan permohonan untuk menyertai pasukan tentera di Amerika Syarikat pada masa itu meningkat seramai 20,000 orang khususnya untuk menyertai tentera laut. Pertanyaan untuk mengikuti program juruterbang tentera laut juga meningkat apabila ramai yang teruja mahu menjadi seperti Top Gun.

Sebab itulah penghasilan sebuah filem yang baik berupaya mengangkat semangat penonton. Negara kita perlu menggunakan layar perak demi mengangkat semangat patriotisme dan memartabatkan perkhidmatan tentera secara keseluruhannya.

Sepertimana hebatnya filem Top Gun yang kini ditunggu-tunggu sekuelnya iaitu Top Gun-Maverick bersama nama aktor Tom Cruise, tidak salah pun untuk pasukan tentera negara kita menonjolkan kehebatan serupa demi menyuntik semangat rakyat.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu