Warga asing guna PLS perlu segera tinggalkan negara

Khairul Dzaimee Daud
Khairul Dzaimee Daud
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia memaklumkan warga asing yang mempunyai Pas Lawatan Sosial (PLS) perlu meninggalkan negara dengan segera pada 21 April ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya mendapati beberapa kes penyalahgunaan PLS oleh pelawat asing ini melalui operasi penguatkuasaan yang dijalankan.

"Ada di antara mereka bekerja di pusat hiburan, rumah urut dan melibatkan diri dengan aktiviti pelacuran, scammer serta lain-lain kesalahan yang melanggar undang-undang.

"Sepanjang tahun 2020 dan 2021 sehingga hari ini, Imigresen telah menjalankan sebanyak 291 operasi penguatkuasaan ke atas premis hiburan dan rumah urut. Hasilnya seramai 1,281 warga asing dan 83 majikan telah ditahan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, warga asing yang diberi kebenaran untuk tinggal di negara ini atas PLS berkenaan perlu mematuhi semua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan di bawah Akta Imigresen.

Katanya, pihaknya juga telah memutuskan supaya warga asing berkenaan meninggalkan negara ini pada 21 April ini dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil.

"Kita memahami terdapat dalam kalangan pelawat asing ini yang menghadapi kesukaran untuk pulang ke negara mereka atas faktor ketiadaan penerbangan dan situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara asal mereka.

"Bagaimanapun, jika mempunyai kekangan untuk pulang ke negara asal, mereka boleh memohon Pas Khas untuk melanjutkan tempoh tinggal di negara ini tetapi perlu disokong oleh kedutaan masing-masing. Dokumen pembuktian mengenai tempat tinggal dan kemampuan kewangan sepanjang berada di negara ini hendaklah disertakan," katanya.

Artikel Berkaitan: