Beri komitmen tingkatkan tahap keselamatan, kesihatan pekerjaan

Awang (kanan) melihat pameran keselamatan di Program Malaysia Prihatin: Seminar OSH-Coordinator dan Program Kesedaran Vaksinasi Covid-19 Peringkat Negeri Kedah, pada Isnin.
Awang (kanan) melihat pameran keselamatan di Program Malaysia Prihatin: Seminar OSH-Coordinator dan Program Kesedaran Vaksinasi Covid-19 Peringkat Negeri Kedah, pada Isnin.
A
A
A

KULIM - Komitmen semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkepentingan, badan bukan kerajaan (NGO) atau masyarakat awam perlu untuk menyumbang kepada Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) baharu menjelang 2025.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, kementeriannya menerusi Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah memperkenalkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP 2025) sebagai usaha meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan ke peringkat yang lebih cemerlang.

Katanya, inisiatif bagi mengurangkan kemalangan selari prinsip peraturan kendiri sebagai teras dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

"Pada masa yang sama peranan OSH-Coordinator (OSH-C) turut diperlukan bagi membantu majikan melaksanakan KKP di tempat kerja," katanya menerusi suatu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, bermula pada tahun 2017 sehingga 2021, jumlah OSH-C yang berdaftar dengan JKKP ialah seramai 5,532 orang.

"Kejadian kemalangan dan penyakit pekerjaan akan berlaku jika majikan dan pekerja tidak mengambil berat aspek keselamatan dan kesihatan.

"Majikan juga bertanggungjawab menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat kepada semua pekerjanya," katanya.

Katanya, pada tahun 2020, pihak JKKP memeriksa sebanyak 242,977 tempat kerja dan jentera.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak 16,325 notis dikeluarkan, 583 kesalahan dikenakan kompaun dan sebanyak 232 kes pendakwaan telah difailkan di mahkamah," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) berkata, kerajaan komited dan prihatin memastikan setiap aspek termasuk keperluan perundangan yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak yang terlibat.

"Bagaimanapun mustahil untuk bergantung sepenuhnya kepada penguatkuasaan semata-mata dan aspek KKP perlu diberikan perhatian serius oleh pihak majikan.

"Selain itu, majikan dan pekerja mesti mengamalkan budaya keselamatan optimum di tempat kerja bagi mencegah kemalangan dan penyakit pekerjaan daripada berterusan berlaku di negara kita," katanya.

Beliau turut memberitahu, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif kesihatan awam untuk membendung penularan wabak Covid-19 termasuk Program Imunisasi vaksin Covid-19 Kebangsaan.

"Peruntukan bagi program imunisasi dipertingkatkan daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok Disember 2021, berbanding sasaran awal iaitu pada suku pertama tahun 2022," katanya.