Bekas pengurus besar kanan didakwa lagi kes rasuah

Chua Shio Meng (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi pertuduhan kes rasuah hari ini.
Chua Shio Meng (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi pertuduhan kes rasuah hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat pembinaan yang didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan meminta suapan iaitu komisen bernilai RM112,000 pada Julai 2017 lalu.

Chua Shio Meng, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Shiou Meng didakwa secara rasuah meminta untuk dirinya suatu suapan daripada pemilik sebuah syarikat iaitu komisen 50 sen bagi setiap meter kiub (RM112,000) setiap bulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bukit Jalil, di sini pada Julai 2017 sebagai dorongan supaya tidak memberikan laporan prestasi kerja yang kurang baik yang boleh menyebabkan kontrak syarikat itu dibatalkan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Prosiding ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab Wahab tertuduh diwakili peguam Datuk Krishnan Kesavan Nair dan Nik Ahmed Asraf Nik Othman.

Dalam prosiding, Fadhli memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama kes lain yang dikenakan terhadap tertuduh.

Artikel Berkaitan:

“Berhubung ikat jamin, saya mohon ia ditetapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada tarikh sebutan kes tertuduh yang akan datang,” katanya.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada tarikh sebutan yang telah ditetapkan pada 22 April ini.

Pada 22 Mac lalu, Shio Meng mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan membabitkan rasuah berjumlah lebih RM200,000 antara 2017 hingga 2019.