X

Kindly register in order to view this article
!

Masjid terbakar, persiapan sambut Ramadan musnah

Awaludin (tengah) ketika meninjau keadaan masjid berkenaan.
A
A

REMBAU - Hasrat jemaah Masjid Kariah Kampung Bongek di sini untuk menunaikan solat terawih pada Ramadan kali ini tidak kesampaian susulan masjid itu terbakar pada pagi Ahad.

Menurut Pengerusi masjid itu, Harun Abdul Rahman, 65, kejadian itu juga menyebabkan persiapan Ramadan yang dirancang musnah.

"Kami baru selesai membuat gotong-royong di masjid ini sebagai persiapan menyambut Ramadan yang berbaki beberapa lagi.

"Bagaimana pun, pada pagi ini kami dikejutkan dengan kebakaran yang memusnahkan bahagian dalam masjid antaranya ruang solat lelaki dan wanita," katanya.

Dalam pada itu, seorang Ahli Jawatankuasa masjid, Norsitibayah Abd Ghani, 42 berkata, dia sedih dengan kejadian itu, namun redha.

"Pada awalnya saya ternampak kepulan asap di bahagian mimbar masjid seterusnya bergegas ke lokasi untuk memastikan asap itu dari arah mana dan ternyata dari dalam masjid.

" Saya segera menghubungi pengerusi dan setiausaha masjid sebelum pasukan bomba dan penyelamat tiba memadamkan kebakaran," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian pada Ahad.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota, Datuk Seri Dr Awaludin Said turun padang meninjau keadaan masjid berkenaan.

Beliau berkata, buat sementara ini, ahli kariah masjid tersebut boleh menunaikan solat terawih di surau dan masjid berhampiran sementara kerja-kerja baik pulih dilaksanakan selain berharap mereka tabah dengan ujian itu ketika umat islam hendak menyambut Ramadan yang bakal tiba dua hari lagi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan masjid berkenaan musnah 70 peratus dalam kebakaran kira-kira jam 10 pagi Ahad.

Pegawai Bomba Kanan 11,Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Amer Izham Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.19 pagi dan tiba beberapa minit kemudian.

"Kebakaran melibatkan bahagian dalam masjid iaitu ruangan solat lelaki dan wanita, bilik mesyuarat serta pendawaian terbakar 50 peratus namun punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!