Lelaki curi beg jemaah masjid ditahan selepas menyamun lagi

Laporan Sinar Harian pada 29 April lalu.
Laporan Sinar Harian pada 29 April lalu.
A
A
A

KOTA BHARU - Lelaki yang dikehendaki polis kerana mencuri beg seorang jemaah lelaki di Masjid Muhammadi ditahan selepas menyamun seorang pesara kastam ketika mangsa memancing di Saliran Sungai Budor di sini pada Selasa.

Ketika kejadian jam 11.40 petang itu, mangsa yang memancing berseorangan tiba-tiba didatangi oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek bertindak menekan kepala mangsa sehingga menyebabkannya jatuh tertiarap.

"Lelaki itu kemudian mengambil barangan mangsa dan melarikan diri bersama kereta Proton Saga milik mangsa," katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, mangsa membuat laporan polis pada jam 2.02 petang.

"Sejam kemudian sepasukan polis menahan suspek yang sedang bersembunyi di kawasan semak di Jalan Kampung Sungai Keladi.

"Jarak suspek ditahan kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian dan polis turut menemui kenderaan serta barangan milik mangsa," katanya.

Tambah beliau, siasatan mendapati suspek berusia 39 tahun dan tidak bekerja positif methamphetamine.

Katanya, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, polis giat mengesan seorang lelaki berumur 30-an yang disyaki mencuri beg di Masjid Muhammadi dan video mengenai kejadian juga tular.

Video berdurasi 14 saat itu menunjukkan suspek memakai seluar hitam, berbaju kemeja putih serta berkopiah.