Jemaah Masjid Changlun gembira terima peruntukan tambahan

Pembinaan masjid baharu Changlun sudah dijalankan di tanah seluas 1.2 hektar namun terhenti semasa PKP. - Gambar kecil: Zainol Abidin (kiri), Hasrul
Pembinaan masjid baharu Changlun sudah dijalankan di tanah seluas 1.2 hektar namun terhenti semasa PKP. - Gambar kecil: Zainol Abidin (kiri), Hasrul
A
A
A

CHANGLUN - Jawatankuasa Masjid Ihya Ulumuddin, Changlun menghargai peruntukan tambahan sebanyak RM3.07 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meneruskan pembinaan masjid baharu yang terhenti semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pengerusi Masjid Masjid Ihya Ulumuddin, Zainol Abidin Mohamad, 65, berkata, masjid baharu yang bakal diteruskan pembinaan dalam masa terdekat ini perlu bagi menampung jumlah anak kariah kini mencecah hampir 20,000 orang.

Menurutnya, masjid sedia ada ini sudah berusia hampir 100 tahun dilihat memerlukan infrastruktur baharu bagi menampung jumlah jemaah semakin ramai.

"Apabila Perdana Menteri membuat pengumuman, memang rasa amat teruja kerana Perdana Menteri prihatin kepada rakyat serta penduduk di sini. Kita berharap sangat masjid ini dapat dibina dengan segera untuk menyelesaikan masalah penduduk di sini.

"Selepas siap masjid baharu ini, jemaah sudah tentu akan dapat beribadat dengan lebih selesa dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan boleh turut dianjurkan di masjid ini nanti," katanya semasa ditemui di Changlun, pada Isnin.

Zainol Abidin berkata, pembinaan masjid baharu sudah dilaksanakan di tanah seluas 1.2 hektar namun terhenti semasa PKP.

"Tambahan dana RM3.07 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri menjadikan keseluruhannya berjumlah RM5.77 juta bagi meneruskan pembinaannya.

"Proses pembinaan bakal diteruskan dalam masa terdekat dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan," katanya.



Zainol Abidin (kiri) dan Hasrul semasa melawat tapak masjid baharu Changlun yang gagal disiapkan kerana terhenti semasa PKP.
Zainol Abidin (kiri) dan Hasrul semasa melawat tapak masjid baharu Changlun yang gagal disiapkan kerana terhenti semasa PKP.



Sementara itu, Imam Masjid Ihya Ulumuddin, Hasrul Hassan, 37, berkata, pembinaan masjid dengan infrastruktur yang lengkap membolehkan ahli kariah masjid berkenaan melaksanakan ibadah dengan lebih selesa.

"Masjid mungkin akan dibina dengan infrastruktur yang lebih moden sesuai dengan zaman serta kehendak dan keperluan masyarakat kita hari ini memandang dalam kariah pekan Changlun sendiri pun penambahan penduduk tu semakin hari semakin banyak dengan penambahan perumahan taman dan sebagainya.

"Saya rasa pembinaan masjid baharu ini amatlah kita perlu untuk ummah dan masyarakat kita pada hari ini," ujar Hasrul.

Pada Ahad, media melaporkan Kerajaan bersetuju meneruskan pembinaan Masjid Changlun dengan tambahan peruntukan sebanyak RM3.07 juta menjadikan keseluruhan kos pembinaan berjumlah RM5.77 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu akan dilaksanakan dengan kadar segera sekali gus dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat untuk mengimarahkan masjid.