RISDA sasar bina 60 unit depo sekerap, lateks


Mohd Salim (kiri) bersama pekebun kecil melakukan simbolik jualan hasil timbangan skrap yang dikumpul selepas merasmikan Depo Pengumpulan Skrap TSB Kampung Lonek, Jempol pada Khamis.
Mohd Salim (kiri) bersama pekebun kecil melakukan simbolik jualan hasil timbangan skrap yang dikumpul selepas merasmikan Depo Pengumpulan Skrap TSB Kampung Lonek, Jempol pada Khamis.
A
A
A

JEMPOL - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyasarkan sebanyak 60 unit depo sekerap getah dan lateks dibina di seluruh negara pada tahun ini.

Pengerusi RISDA, Datuk Mohd Salim Sharif berkata, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM2.54 juta dengan menyasarkan seramai 11,446 pekebun kecil.

“Tahun lalu, RISDA membelanjakan sebanyak RM1.39 juta bagi membina 49 depo membabitkan 14 sekerap dan 35 lateks termasuk menambah baik depo sedia ada.

“RISDA berharap kemudahan infrastruktur ini membolehkan pekebun kecil meningkatkan hasil pengeluaran sekerap dan lateks sekali gus mendapat harga terbaik tanpa melalui orang tengah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur dan Pelancaran Gerakan Rawatan Penyakit Pestalotiopsis Peringkat Negeri Sembilan di Ladang Tanaman Semula Berkelompok (TSB) Kampung Lonek di sini pada Khamis.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan RISDA, Ali Sabuddin Abd Samad.

Mohd Salim berkata, setiap depo dibina berdasarkan permintaan pekebun kecil getah dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti akses pengangkutan dan lokasi.

Bagaimanapun, beliau menggalakkan lebih banyak depo lateks dibina kerana ia dapat memberi pendapatan dua kali ganda berbanding getah sekerap.

Artikel Berkaitan:

“Kalau harga getah misalnya RM3, lateks pula RM6. Malah kita turut beri insentif pengeluaran lateks,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, RISDA sudah memulakan semburan bagi mengatasi penyakit luruhan daun atau pestalotiopsis di seluruh negara.

Katanya, penyakit berkenaan memberi kesan kepada 15,282 hektar kebun getah membabitkan 8,043 pekebun kecil.

“RISDA menyalurkan peruntukan berjumlah RM15.74 juta bagi mengatasi penyakit berkenaan dalam bentuk semburan racun kulat,” katanya.